Skip to main
Logo Malaysiakini

Indonesia tutup aplikasi Michat sebab tawar khidmat seks

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pemerintah Indonesia bertindak menutup akaun aplikasi Michat yang diletakkan status atau hashtag ‘BO’ dalam membanteras kegiatan pelacuran dalam talian di republik berkenaan.

BO atau bermaksud ‘open booking’ itu menjadi istilah popular di Indonesia, bagi menawarkan perkhidmatan seks secara terbuka di aplikasi berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Johnny G Plate dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya telah mendapat komitmen daripada penyelenggara aplikasi Michat yang berasal dari China itu, bagi menyekat dan menutup akaun-akaun Michat yang digunakan untuk tujuan pelacuran.

Selain BO, status dan hashtag yang sering digunakan mereka yang menawarkan perkhidmatan seks menerusi dalam talian itu adalah #OpenBO, #VCS dan #ChatSex.

Berdasarkan pemantauan kementerian itu, lebih 1 juta akaun Michat dikesan terbabit dalam menawarkan kegiatan pelacuran menerusi dalam talian di republik berkenaan.

- Bernama