Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam tak dapat komisen dapatkan semula aset 1MDB - lembaga pengarah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

1MDB berkata pasukan peguamnya tidak mendapat komisen berdasarkan jumlah aset syarikat pelaburan negara itu yang berjaya didapatkan semula.

Kenyataan 1MDB ini bertentangan dengan dakwaan oleh sesetengah pihak.

"Proses ini juga melibatkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB di dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.

"Yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat, selaras dengan kadar yang telah dirunding dan dipersetujui, dan bukan berdasarkan komisen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperolehi," kata ahli lembaga pengarah 1MDB pada satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan, telah mengumumkan sebelum ini, kerajaan Malaysia telah menerima penyelesaian tunai bernilai AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs.

"Jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (“Akaun Amanah”) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Baru-baru ini, 1MDB juga telah berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad, dan sebanyak RM324 juta dengan Deloitte.

"Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, telah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah tersebut,” jelas ahli lembaga pengarah 1MDB lagi.

Terdahulu, Bersatu menafikan sekerasnya yang bayaran guaman tinggi untuk penyelesaian dengan Goldman Sachs dibuat agar parti itu dapat menerima "komisen".

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan membidas satu laporan polis yang dibuat, mendakwa parti itu menerima RM500 juta sebagai komisen kerana membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai usaha "pembunuhan karakter" terhadap Muhyiddin.

Sallehudin dahulunya adalah ahli Bersatu tetapi kini bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

Kemudian, peguam yang rapat dengan Muhyiddin, Rosli Dahlan pula membuat laporan polis terhadap Sallehudin dan bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Adam berhubung perkara itu.

Lokman juga membuat dakwaan yang sama.