Skip to main
Logo Malaysiakini

Gobind gesa PM beri jaminan siasat isu kartel polis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ali parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyifatkan respons kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap dakwaan kewujudan "kartel" dalam pasukan polis sebagai "lemah dan tidak memuaskan".

Jelasnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak menyentuh isu itu ketika menyampaikan ucapan kepada pegawai polis pada hari Khamis lalu di mana dia berbicara tentang perlunya mereka menguasai perkara mengenai undang-undang.

"Saya bersetuju dengan perdana menteri bahawa wujud keperluan bagi para anggota polis untuk menguasai undang-undang negara dalam mendepani cabaran moden.

"Tetapi bukankah kerajaan juga sepatutnya mengambil langkah yang lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan menangani aduan yang dibuat oleh KPN (Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador) sendiri jika benar ia mahu memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat supaya menghormati dan mematuhi undang-undang?

"Di manakah kenyataan tegas Perdana Menteri untuk menyokong seruan KPN supaya tindakan diambil ke atas dakwaan wujudnya kartel dan dakwaan amalan rasuah dalam pasukan polis sendiri, demi memulihkan integriti dan keyakinan awam terhadap PDRM?" kata Gobind dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian minggu lalu, Abdul Hamid mendakwa wujud "kartel" dalam pasukan polis yang terdiri daripada pegawai muda yang cuba menjatuhkannya.

Dia tidak memberikan perincian tetapi wawancara itu menyorot bahawa "kartel" berkenaan ingin menjatuhkan Abdul Hamid untuk kepentingan peribadi.

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berpendapat bahawa masalah itu akan ditangani secara dalaman oleh polis.

Ini meskipun ramai pemimpin politik pembangkang dan NGO menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaaan Abdul Hamid.

Abdul Hamid berkata perkara itu "terkawal" dan tidak memerlukan RCI.

Namun, Gobind mengatakan bahawa kerajaan PN harus memberi jaminan akan menangani masalah itu.

"Setakat ini, respons kerajaan PN terhadap dakwaan oleh KPN tentang wujudnya kartel dan amalan rasuah dalam pasukan polis, adalah lemah dan tidak memuaskan.

"Perdana menteri mesti bersuara dan memberi jaminan bahawa laporan akan dibuat, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan tindakan yang sepatutnya akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah," katanya.