Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahidi: Umno akan jadi pembangkang kalau tak berpakat dengan sesiapa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin membayangkan parti itu akan kekal berada dalam blok pembangkang sekiranya tidak berpakat dengan mana-mana parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 nanti.

Meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), Zahidi berkata Umno perlu berfikir jauh sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti itu tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

“Kalau sekarang Umno bertanding dan tak cukup 120 kerusi…sekarang no DAP, no PKR, no PPBM (Bersatu), siapa nak pakat dengan kita? Terus jadi pembangkang?

“Sebab kita dari awal kata kita tak mahu pakat dengan sesiapa, tiba-tiba tak cukup (majoriti), lepas tu kita nak minta pakat pula. Siapa nak pakat dengan kita?” katanya kepada pemberita ketika memberikan pek makanan kepada media di Perhimpunan Agung Umno di PWTC di Kuala Lumpur hari ini.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian apabila ditanya adakah dia bersetuju dengan pandangan Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim bahawa kedudukan Umno dalam kerajaan PN sebenarnya lebih besar berbanding parti lain.

“Setuju ke tidak itu perkara subjektif yang perlu dilihat selepas pilihan raya umum (PRU).

“Kita buat urusan tapi lepas PRU urusan bagaimana, itu yang kami rasa kami kena bincang,” kata Zahidi.

Zahidi berkata tiada siapa yang akan bersetuju untuk berpakat dengan Umno sekiranya parti itu menolak lamaran kerjasama dengan parti lain pada awal-awal lagi.

Dia memberi contoh situasi di mana jika Umno hanya mampu meraih 60 kerusi daripada 222 Parlimen selepas PRU, kemudian tiada parti yang ingin berpakat dengan Umno.

“Ini benda yang kena kita fikirkan… maknanya kena berbincanglah. Kalau awal-awal tak setuju dengan orang, orang pun tak setuju dengan kita.

“Kalau Umno boleh dapat 120 atau 112 kerusi, okey, tak payah setuju (berpakat) pun tak apa sebab kita boleh bentuk kerajaan.

“Tiba-tiba tak cukup (kerusi) dapat 60 atau 40, bagaimana kita boleh pastikan untuk dapat 120 kerusi?” soalnya.