Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahril: Kenyataan Azmin tentang undi 18 salah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menyangkal kenyataan Menteri Kanan Azmin Ali yang mempersoalkan janji kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 selewat-lewatnya tahun ini.

Shahril berkata kenyataan Azmin itu janggal kerana jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pernah menyebut ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya Julai 2021.

“Bila dia (Azmin) tak sebut janji saya rasa secara faktanya salah.

“Saya tak pasti sebab apa dia keluarkan kenyataan tersebut,” katanya ketika ditemui media di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di PWTC hari ini.

SPR baru-baru ini memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan antaranya atas sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan persiapan ke arahnya.

Selepas pelbagai pihak menyuarakan kritikan, Azmin semalam mempertahankan keputusan itu dengan berkata PRU ke-15 hanya akan dilaksanakan pada 2023, iaitu ketika tamat penggal kali ini.

"Pilihan raya seterusnya adalah pada 2023. Siapa janji untuk (laksana Undi18) pada 2020 atau 2021,” soalnya yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional.

Azmin juga berkata banyak langkah yang perlu dibuat sebelum undang-undang baru itu dapat dilaksanakan, seperti pindaan di peringkat negeri untuk membolehkan warga negara berusia 18 tahun bertanding sebagai calon dalam pilihan raya negeri.

Lim Wei Jiet

Dalam pada itu, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyangkal apa yang disifatkannya sebagai "propaganda di media sosial" yang mengatakan semua DUN perlu meluluskan undang-undang itu terlebih dahulu sebelum penurunan had umur mengundi dapat dilaksanakan.

Ini tidak benar sama sekali dari sudut perundangan...Apa yang berada dalam bidang kuasa DUN negeri-negeri adalah had umur calon pilihanraya, dan itu pun pada peringkat DUN dan bukannya Parlimen.

"DUN tiada kuasa sama sekali untuk menentukan atau mempengaruhi had umur pengundi pilihan raya di peringkat DUN atau Persekutuan. Had umur pengundi adalah dalam bidang kuasa ekslusif kerajaan Persekutuan," kata Naib Presiden Jawatankuasa Pro-Tem Muda, Lim Wei Jiet.

Katanya, pewartaan penurunan had umur mengundi tiada kaitan sama sekali dengan apa yang telah atau belum diluluskan di peringkat DUN.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan