Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kesunyian' di PWTC benar-benar terasa, kata perwakilan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan meraikan 'hari raya' apabila semua pimpinan peringkat bawahan dan pertengahan berkampung di situ untuk menghadiri perhimpunan agung.

Suasana di PWTC memang sangat meriah dan berwarna-warni. Peniaga pula menggunakan ruang yang ada untuk mencari laba selama beberapa hari. Biasanya mereka akan tersenyum puas selepas perhimpunan itu berakhir.

Bermacam-macam ragam dapat disaksikan di situ.

Namun segala-galanya berbeza sama sekali tahun ini. Ruang yang besar di bangunan kebanggaan Umno itu sepi dan muram walaupun perhimpunan sedang berlangsung.

Itulah yang dirasakan Nosimah Hashim yang mengeluh serta meluahkan rasa sedih hari ini. Bagi perwakilan Wanita Umno Pandan itu perubahan berkenaan begitu dirasai.

“Sedih sangat tahun ini, tak ramai kawan-kawan dapat datang. Kawasan pun tak penuh macam dulu,” katanya.

Nosimah Hashim

Nosimah yang berumur 70 tahun berkata telah menyertai parti Melayu itu sejak dua dekad lalu dan memang selalu seronok setiap kali perhimpunan tahunan berlangsung.

Cuma tahun ini katanya keseronokan itu lenyap.

“Tak seronok sebab tak ada gerai-gerai, nak beli-belah dengan kawan semua tak ada,” katanya.

Senada dengan Nosimah ialah perwakilan Wanita Umno Cameron Highlands, Aminah Abdul Wahid. Katanya suasana lenggang di lobi serta sekitar PWTC dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat membawa suasana janggal padanya.

Aminah Abdul Wahid

“SOP sangat ketat, kena pakai pelitup muka sentiasa, jalan tak boleh berkelompok dan kena imblas MySejahtera di semua tempat.

“Tapi baguslah... dengan keadaan Covid-19 sekarang lebih baik kita berjaga-jaga,” jelasnya.

Selain orang ramai berkumpul di mana-mana di sekitar PTWC Kuala Lumpur juga biasanya akan dimeriahkan dengan kedatangan bas dari pelbagai tempat membawa perwakilan atau pemerhati.

Peniaga makanan, buku dan pakaian pula menjadi latar yang menceriakan suasana.

Tinjauan Malaysiakini hari ini mendapati tiada gerai jualan dibuka, manakala ahli Umno yang bukan menjadi perwakilan juga tidak dibenarkan hadir.

Begitu juga dengan media - petugasnya tidak benarkan membuat liputan di dalam dewan persidangan sebaliknya perlu berada di bilik media yang disediakan penganjur.

Punyariah Kollang

Ucapan perbahasan juga tidak disiarkan secara langsung.

Meskipun menyifatkan PAU kali ini hilang serinya namun Punyariah Kollang berkata norma baru sekarang tetap ada keistimewaannya.

“Hilang seri tetapi istimewanya ialah ada norma baru. Kita masih boleh berhimpun walaupun terhad bilangannya.

“Kita juga masih boleh buat (persidangan) secara maya dan ini satu cara baru yang menarik,” katanya.

Dia juga berharap perhimpunan norma baru itu diteruskan walaupun ancaman Covid-19 sudah diatasi.

“Hilang (Covid-19) pun kalau teruskan PAU macam ini sangat istimewa dan menarik,” tambahnya yang datang sebagai perwakilan Semporna.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan