Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Menarik rambut di PWTC

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN | Masa tidak banyak dan pilihan yang ada pula adalah terhad. Tapi suka atau tidak itulah keadaan yang perlu dihadapi ahli politik serta parti masing-masing yang mahu memenangi hati pengundi.

Selama dua hari mulai semalam Umno ada peluang untuk menzahirkan diri mereka menjadi parti yang didambakan orang ramai. Pada masa sama, detik untuk pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Tidak ada sesiapa yang tahu bila Muhyiddin Yassin akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar parlimen dibubarkan. Entah-entah Muhyiddin sendiri pun tidak tahu.

Demikianlah 'indahnya' demokrasi di Malaysia. Ketika terlalu banyak negara lain menjadi budiman dengan mengumumkan tarikh PRU masing-masing berbulan-bulan atau bertahun lebih awal, kita tekal untuk beramal dengan demokrasi dengan cara tersendiri - merahsiakan detik itu sehingga ke saat-saat akhir.

Pembangkang tersisih dan tidak mendapat hak yang sama dengan parti kerajaan untuk membuat persedian? Lantaklah! Ini demokrasi a la Malaysia. Tidak ada sesiapa yang berhak menegur. Jika ada yang menegur, itu adalah petanda mereka sudah menjadi ejen asing. Atau dirasuk pengaruh Barat.

Menutup peluang warga lebih muda untuk mengundi adalah sekadar mencantikkan dan menyuburkan lagi demokrasi a la Malaysia itu.

Ketika hari demi hari orang ramai semakin kagum melihat tebalnya kulit muka ahli politik, Umno pun bersidanglah. Dalam sunyi yang nyata, parti itu berkumpul sama ada secara bersemuka atau dalam talian sambil membaca mantera semerah bangsa mereka.

Umno menjadi perahsia

Apa yang berlaku semalam adalah cerminan hal-hal yang bakal berlaku hari ini. Bahangnya ada. Perwakilan dan pembahas menyatakan suara masing-masing. Ia digelar suara akar umbi Umno.

Namun indahnya, bara Umno itu hanya Umno tertentu yang tahu. Manakan tidak. Tidak gah dan garang seperti selalu, kini Umno menjadi begitu perahsia. Tiada siaran langsung, tiada ranggi terbuka, tiada gelak tawa seperti selalu. Ucapan dan hujah-hujah pembahas ditapis terlebih dulu agar tidak bergema ke luar.

Di sebalik daun pintu dewan-dewan tertentu itulah mereka bersidang. Kalau ada yang lucu, ahli terpilih Umno saja yang ketawa. Kalau ada yang mengkritik, hanya ahli terpilih sama itulah yang terasa. Selebihnya biar orang lain meneka.

Lainlah orang macam Annuar Musa. Dia tahu banyak, malah mungkin lebih banyak daripada apa yang dia kata atau tulis di media sosial.

Mauduk Umno berhimpun kali ini - antara lain - ialah melepaskan rasa marah yang terpendam. Kita pun faham, ada banyak yang Umno geramkan. Bersatu adalah salah satu marah dan geram yang Umno pendam.

Bersatu bukan saja melemahkan Umno di peringkat akar dan umbi. Bersatu mungkin mereputkan Umno sejak dari umbut lagi. Arkitek Bersatu ada ramai. Pintar-pintar belaka. Selain Muhyiddin, Bersatu ada - misalnya - Azmin Ali, ada Radzi Jidin, ada Ahmad Faizal Azumu juga. Dan ada Annuar Musa.

Oh maaf. Kadang-kadang kita memang terkeliru. Annuar itu ahli Umno, bukan Bersatu. Dan sebenarnya bertuah benar Bersatu - dan Umno akan rugi besar - kalau dapat menarik Annuar menyertai mereka. Annuar ada rekod sebagai seorang hulubalang dan si pemberani yang sukar dicari pengganti.

Bersatu juga menyusahkan Umno apabila ia berjaya memikat PAS dengan jayanya. Bersatu menjadi begitu memberahikan PAS sejak ia berpaling dari Pakatan Harapan (PH) dan meminang mereka untuk menjadi kerajaan.

Maka jadilah PAS bagai orang mengantuk disorongkan jawatan.

Ia berlaku selepas Muhyiddin mengungkapkan kata-kata: "Orang Melayu sudah kenal siapa Umno siapa PAS. Dua kali lima saja. Seorang perompak seorang lagi nama saja Islam tapi sanggup bercium mulut dengan perompak".

Muhyiddin juga pernah menyiku dengan berpantun:

Serban besar berkain pelikat,
Keliling kampung naik basikal;
Sekali dengar disangka malaikat,
Rupanya bohong hujah pun dangkal.

Dengan apa yang sudah berlaku itu dapat difahami mengapa ada bara sedang menghangat memijar di PWTC. Ada asap berkepul-kepul ke langit dari ibu pejabat parti itu.

Berjurus di depan tuan guru

Hari ini entah apa yang akan berlaku. Tetapi melihat kepada apa yang terjadi pada Umno sebulan dua ini, kemungkinan besar bara akan kekal menjadi bara. Asap akan kekal naik berkepul-kepul. Namun api tidak akan menyala. Semuanya dipendam dan diperam diam-diam

Umno tidak akan menjadi parti yang berani berterus terang. Ahmad Zahid Hamidi misalnya akan tetap dengan ucapan dengan bahasa berbunga-bunga yang aduhai.

Sementelah selepas Umno berkawan dengan PAS. Habis kuat pun, Umno hanya akan berkias, berpantun dan berbidal-bidalan. Cuma itulah, bidalan dan kiasan. Umno tidak memerlukan haiwan itu atau haiwan ini untuk menyampaikan maksud yang terbuku di hati.

Lebih-lebih lagi berucap di depan pemimpin PAS. Umno akan memastikan ia dilihat 'berjurus' di depan dua tuan guru yang dijadual hadir. Sindiran yang pedih atau mencalarkan kulit mungkin tidak akan terkeluar langsung dari mulut mana-mana pemimpin Umno.

Tetapi apabila pintu dewan ditutup kepada semua, mungkin sesi 'membawang' tetaplah akan bermula juga. Benda dah ada dan mencolok mata. Ahmad Said adalah antara orang yang faham benar silat kuntau PAS.

Apabila petang tiba nanti, tidak banyak perkembangan menarik yang boleh diharapkan dari PWTC. Ratib DAP, DAP, DAP dan DAP mungkin akan dilaungkan di PWTC walau tidak sekerap selalu. Tugas meratib itu kini lebih banyak dilakukan PAS berbanding Umno.

Pada akhirnya Umno akan kekal seperti Umno. Kerajaan PN akan kekal sebagai kerajaan PN. Al-Sultan Abdullah akan tetap menunggu Muhyiddin dan kabinet memberikan nasihat untuk mengadakan sidang parlimen.

Dan rakyat akan terus bernafas dalam lumpur untuk menikmati segala sengsara hidup sambil dihiburkan layanan antara dua darjat yang diberikan kepada kluster kayangan semasa Covid-19 ini.

Kecualilah Umno menjadi pemberani sebenar. Dan ia hampir pasti tidak akan terjadi, ibarat menanti Abdul Hadi merentap kailnya untuk menangkap buaya.

Atau mengharapkan duta khas perdana menteri itu berlapang dada mengakui hakim Mahkamah Persekutuan sama sekali tidak mencabar Islam atau Enakmen Jenayah Syariah Selangor dengan keputusan mereka sebaliknya hanya mentafsir perlembagaan negara. Ia adalah perlembagaan sama yang pernah dikritik Abdul Hadi puluhan tahun silam, dan yang sama sedang dikendongnya.

Cuma kita boleh faham juga, Umno kena berhati-hati menguruskan krisis yang ada. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung usah berselerak. Tapi, itulah. Umno akan tetap hanya dapat rambut saja hingga ke sudah. Umno nak buat apa dengan rambut entah siapa itu?

Dan orang ramai akan semakin meluat melihat ulah orang politik.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah seorang wartawan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.