Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewan sama, suasana berbeza - Annuar kenang semangat Muafakat Nasional

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada hari kemuncak Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa meratapi perpecahan yang berlaku dalam partinya itu, dan dalam kalangan orang Melayu.

Mengenang-ngenang Himpunan Penyatuan Ummah yang menyaksikan termetrainya Piagam Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS di bangunan sama pada September 2019, kata Annuar, suasana dalam PAU hari ini menampakkan suasana berbeza.

“Kira-kira 18 bulan lalu, Dewan Merdeka PWTC menjadi saksi kepada himpunan penyatuan ummah dan perpaduan politik Melayu.

“Di Dewan Merdeka terpampang ayat-ayat Al-Quran dari surah pilihan yang memperingatkan pentingnya perpaduan dan jangan bercerai-berai.

“Ucapan-ucapan sarat dengan sifat berjiwa besar, saling memaafkan serta pernyataan iltizam berjuang demi agama,bangsa dan tanah air,” kongsinya di Facebook.

Kira kira 18 bulan lalu,DEWAN MERDEKA PWTC menjadi saksi kepada himpunan penyatuan ummah dan perpaduan politik...

Posted by Tan Sri Annuar Musa on Saturday, March 27, 2021

 

Ahli Parlimen Ketereh itu mengimbau suasana yang disambut rasa lega dan linangan air mata ribuan yang hadir untuk mengiringi pemeteraian piagam berkenaan yang ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Hari ini, dewan yang sama menghidangkan suasana berbeza. Tiada lagi suara perpaduan, tiada lagi suara perjuangan bangsa dan agama.

“Ia berganti suara perpecahan, suara menolak semua, suara keyakinan bergerak sendirian, suara mengherdik sesama sendiri. Suara menakut-nakutkan dan suara ugutan, penggantungan dan pemecatan,” kata Annuar.

Semalam, Annuar yang merupakan tokoh Umno yang lantang mempertahankan kerjasama Perikatan Nasional (PN) itu, mendakwa kepemimpinan parti menekan suara berpendirian berbeza dalam perhimpunan agung selama dua hari itu.

Dakwanya, Umno menggantikan jurucakap yang telah dipilih dengan mereka yang dilantik Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid dilihat mahu memutuskan hubungan kerjasama antara Umno dengan Bersatu dan PN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Tambah Annuar, perbahasan terhadap usul untuk meluluskan ucapan dasar presiden hanya boleh dibahaskan oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) sahaja - yang diibaratkannya seperti MT meluluskan keputusan mereka sendiri.

Annuar yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN pada Januari itu berkata, berbanding suara Umno yang “baru”, dia lebih berbangga menjadi sebahagian daripada suara yang “dulu”.

“Saya berbangga menjadi sebahagian dari suara yang dulu, dan bukan suara yang baru.

“Cepatnya masa berlalu. Keruh di kuala, ramai yang tak tahu adanya hujan di hulu,” kias Annuar.