Skip to main
Logo Malaysiakini

Myanmar terus berdarah, kematian cecah 141

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Myanmar menyaksikan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi pada Sabtu dengan rejim tentera yang berkuasa dilihat menunjukkan kekuatannya semasa negara itu menyambut Hari Angkatan Tentera tahunannya.

Menurut laporan Agensi Anadolu, junta menerusi mesej yang disiarkan di televisyen pada Jumaat malam telah memberi amaran kepada penunjuk perasaan mengenai risiko ditembak di kepala dan belakang jika mereka meneruskan demonstrasi antikudeta semasa hari sambutan itu.

Penunjuk perasaan bagaimanapun tidak menghiraukan ancaman junta dan tetap keluar ke jalan-jalan di bandar-bandar di seluruh negara pada Sabtu, dan bertembung dengan pihak tentera.

Menurut laporan media, kumpulan sukarelawan dan saksi-saksi pembunuhan, lebih 140 orang telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan di seluruh negara itu pada Sabtu.

Saluran berita utama di negara itu, Myanmar NOW melaporkan ia telah mengesahkan kematian 141 orang awam di 44 pekan dan di lapan daripada 15 bandar di wilayah itu.

Yangon dan Mandalay, dua bandar terbesar dan hab komersial terpenting di negara itu, mencatat jumlah kematian paling tinggi pada Sabtu iaitu masing-masing merekodkan 23 dan 29 kematian, menurut statistik yang dikumpulkan saluran utama media di negara itu, Myanmar Now.

Kematian golongan remaja

Menurut laporan Agensi Anadolu, antara yang terbunuh di Yangon ialah seorang anggota polis berusia 21 tahun, yang mengetepikan tugasnya dan menyertai gerakan penentang awam. Beliau ditembak di kepala oleh pasukan keselamatan di bandar Insein, kata seorang sukarelawan perubatan.

"Beliau ditembak di kepala, dan sudah mati ketika rakan-rakannya membawanya ke sini," kata seorang anggota pasukan penyelamat tempatan yang namanya dirahsiakan kepada Agensi Anadolu.

Seorang lagi mangsa remaja ialah seorang remaja lelaki Hindu berusia 14 tahun di bandar Minggalar Taung Nyunt di Yangon, lapor media tempatan Khit Thit Media.

Mangsa termuda tindakan ganas pada Sabtu adalah seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang ditembak ketika sedang bermain di jalan berhampiran rumahnya di bandar Shwe Bo di Mandalay.

Dalam rakaman yang dikongsi di media sosial, bapa mangsa dilihat meraung menyebut- "Anak saya telah mati, inilah anak saya yang telah mati" - sambil memangku mayat anaknya.

Angka kematian dijangka terus meningkat memandangkan kekerasan yang ditunjukkan pihak junta dijangka berlanjutan.

Kecaman pihak diplomat

Keganasan tentera itu menerima kecaman hebat diplomat asing yang enggan menghadiri upacara Hari Angkatan Tentera di ibu negara pentadbiran Nay Pyi Taw.

Kesatuan Eropah di Myanmar menyifatkan tindakan kekerasan sempena Hari Angkatan Tentera sebagai "hari keganasan dan penghinaan".

"Pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata termasuk kanak-kanak tidak boleh dimaafkan," kata EU dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Yangon mengatakan pihaknya telah menyiasat tembakan yang dilancarkan oleh kumpulan yang tidak dikenali di American Center.

Duta AS ke Myanmar Thomas Vajda mengatakan pasukan keselamatan membunuh orang awam yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak.

Beliau meminta junta segera menghentikan keganasan dan mengembalikan pemerintahan awam.

"Rakyat Myanmar telah bersuara dengan jelas: mereka tidak mahu hidup di bawah pemerintahan tentera," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Feb lepas, beberapa jam sebelum Parlimen dijadualkan bersidang, dan telah menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan anggota kanan lain Liga Demokratik Kebangsaan (NLD), yang mencetuskan tunjuk perasaan anti rampasan kuasa di seluruh negara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi telah menyatakan kebimbangan terhadap penggunaan kekerasan melampau oleh junta tentera terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata, dengan mengatakan ia boleh membahayakan sistem demokrasinya yang masih rapuh.

- Bernama