Skip to main
Logo Malaysiakini

KPM minta sekolah beri penekanan terhadap SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan pihak sekolah di seluruh negara mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan dan murid.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, perkara itu juga perlu dititik berat golongan ibu bapa supaya dapat berpesan kepada anak-anak mereka agar mematuhi SOP sepanjang berada di sekolah.

"Dalam konteks Covid-19, sepertimana yang saya jelaskan sekiranya berlaku apa apa, kita merujuk kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) kerana pihak berkenaan kerana mereka lebih pakar.

"Apa sahaja pandangan, kita di KPM akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak.

"Apa yang penting, ibu bapa haruslah mengingatkan anak-anak untuk mematuhi SOP. Kami juga memberi penekanan tentang pematuhan ini kepada seluruh warga sekolah termasuklah guru-guru," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Masa: "Terima Kasih Cikgu" sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Tahun 2021 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi penularan Covid-19 khususnya melibatkan sekolah termasuk di Kelantan.

Sementara itu, mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, situasi pandemik Covid-19 ini menjadi cabaran getir yang dihadapi warga KPM dan ia berjaya dihadapi dengan baik.

"Dalam tempoh yang amat sukar ini, guru-guru telah memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan anak anak yang perlu melalui kaedah pembelajaran yang berbeza dapat meneruskan pembelajaran mereka berdasarkan kekangan dan ruang ruang yang ada.

"Ini satu masa yang sukar, namun alhamdulillah kita sudah melihat bagaimana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan dengan lancar apabila SOP dapat dipatuh dengan baik.

"Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan yang selamat," katanya.