Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya digantung sebagai peringatan agar ahli patuh arahan pemimpin'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz menggangap penggantungannya daripada Umno selama enam tahun sebagai mesej kepada ahli parti supaya mengikut arahan pemimpin.

Jelasnya, dia juga berasa hairan mengapa keputusan penggantungan tersebut dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukan pihak Lembaga Disiplin.

“Pertama kenapa MKT dipilih buat keputusan, sepanjang saya pegang jawatan MKT dari zaman pemuda sampai sekarang, MKT tak pernah buat keputusan disiplin dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Kenapa pula, saya rasa ramai spekulasi ada kaitan nak berikan tanda-tanda atau sedikit peringatan kepada ahli supaya ada ramai patuh arahan pemimpin,” katanya ketika ditemui pemberita pada PAU di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Tun Faisal juga mempersoalkan tempoh penggantungannya dan membandingkannya dengan penggantungan bekas ahli majlis kerja tertinggi Umno, Lokman Adam.

“Yang kedua yang dispekulasi kenapa sampai enam tahun, ramai sahabat sahabat termasuk pimpinan Umno dan termasuk lama-lama hairan kerana rasa enam tahun macam pelik sangat. Lokman Adam dulu tiga tahun sahaja,” jelasnya.

Surat penggantungan itu dikeluarkan semalam, selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno mengesahkan keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti pada 8 Mac.

Surat yang ditandatangani oleh setiausaha agung parti Ahmad Maslan itu menyatakan bahawa penggantungan itu kerana melanggar tataetika sebagai ahli Umno.

Laporan Utusan Malaysia mendakwa bahawa Ketua Umno Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor mengatur laporan disiplin terhadap Faisal - yang merupakan timbalannya - dipercayai kerana mengkritik presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Faisal sebelum ini mengkritik Zahid dan pemimpin parti lain yang menyokong untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu.

Faisal juga mengkritik apa yang dispekulasikan sebagai usaha untuk membawa Umno bekerjasama dengan PKR.

Mengulas lanjut, Faisal berkata dia akan merayu keputusan terbabit dalam masa dua hari lagi kepada MKT dan bukan Lembaga Disiplin.

“Saya akan rayu bukan kepada lembaga disiplin tapi kepada MKT, kerana saya rasa MKT tidak dapat gambaran sebenar dan fakta sebenar kes ini.

“Bagi dua hari saya akan sediakan surat rayuan dan saya akan nyatakan bahwa MKT perlu meneliti hujah diberikan.

“Jangan bergantung laporan lembaga disiplin sebab saya rasa waktu tribunal saya dapat pendengaran adil, cuma keputusan dan fakta-fakta saya diberikan tak dipertimbangkan dengan baik,” tambahnya.