'Beri banduan kerja dalam industri yang bergantung pekerja asing'
Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman mencadangkan kerajaan menawarkan banduan untuk bekerja dalam industri yang bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing.
Menurutnya, melalui konsep sedemikian, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan banduan dalam tahanan.
"Ni cadangan saya kepada pihak kerajaan, kalau dilakukan begini, lebih banyak dapat dijimatkan dan lebih ramai banduan yang boleh kerja bukan saja di tapak pembinaan tetapi di sektor industri serta peladangan," katanya pada sidang media di Saujana Putra hari ini.
Dia berkata demikian selepas melakukan tinjauan kemajuan ppojek LRT Laluan 3 (LRT3) bersama-sama dengan kontraktor utama MRCB-GK.
Projek yang telah siap sebanyak 49.22 peratus itu turut melibatkan seramai 34 banduan dari Rumah Transisi Industri - Penjara Sungai Buloh yang ditawarkan bekerja bersama kontraktor MRCB bagi menyumbang tenaga dalam projek tersebut.
Difahamkan banduan terbabit bekerja di situ pada sebelah siang dan dihantar semula ke pusat tahanan pada waktu malam.
"Bagi saya, ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana kita memberi peluang kedua kepada banduan-banduan ini dengan memberikan kerja-kerja yang sesuai.
"Tentunya, sesuatu yang mungkin boleh dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain," katanya.
Tajuddin berkata satu dasar atau program yang memberikan manfaat kepada semua pihak sama ada banduan atau pihak swasta yang memerlukan tenaga kerja boleh diadakan bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing.
Buat yang terbaik untuk Prasarana
Mengenai cabaran Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhubung peletakan jawatan pemimpin Umno dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Tajuddin berkata buat masa ini dia akan melakukan yang terbaik untuk Prasarana sehingga Parlimen dibubarkan.
"Kalau esok dibubarkan, esoklah. Goodbyelah. Tapi kalau kata sampai bulan Ogos sampai Ogos-lah, kalau sampai tahun depan, tahun depanlah," katanya.
Bagaimanapun, kata Tajuddin, sehingga sampai saat itu, dia akan melaksanakan pelbagai projek bagi menjadikan Prasarana sebagai penyedia pengangkutan awam yang terbaik.
"Itulah yang saya akan lakukan sehinggalah parlimen dibubarkan," katanya apabila diminta mengulas perkara yang perlu disiapkan sebelum dia meletak jawatan.
Ia berikutan gesaan Zahid semalam, yang mengatakan bahawa apabila Umno memutuskan untuk menarik diri dari kerajaan, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meletak jawatan bersama.
Sementara itu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula memberi bayangan mereka akan menarik diri daripada pada Ogos nanti iaitu pada tarikh pelaksanaan darurat dijangka tamat.
Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melepaskan jawatannya apabila tiba waktunya.
Ahli Parlimen Pasir Salak kemudian berkata perjuangan parti jauh lebih besar daripada jawatan yang diberikan kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai