Kelantan perlu tambahan pegawai, anggota narkotik di sempadan Thailand
Polis Kelantan melihat keperluan bagi menambah kekuatan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik khususnya di empat daerah sempadan utama Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata penambahan pegawai dan anggota narkotik diperlukan bagi menangani isu-isu sempadan dengan lebih berkesan.
"Saya memerlukan penambahan anggota narkotik di empat daerah sempadan. Bermula di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.
"Ini kerana mereka menghadapi kekurangan risiko dan kekuatan untuk menangani isu sempadan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Hari Polis ke-214 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Shafien berkata demikian ketika ditanya pemberita susulan lawatan kerja Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain ke Kelantan, semalam.
Menurutnya, polis Kelantan ini mempunyai 70 pegawai dan anggota narkotik di peringkat kontinjen negeri dan di daerah-daerah pula antara 20 hingga 30 orang.
"Walaupun ada kekangan di peringkat kontnijen, jika ada kes besar yang melibatkan sendiket, sudah pasti kita akan meminta bantuan narkotik Bukit Aman.
"Sebab kita mempunyai keupayaan yang terhad, jadi kalau kita rasa kita tidak mampu, kita akan minta bantuan Bukit Aman," jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, polis Kelantan bersedia bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan pembukaan bazar Ramadan di negeri itu.
Shafien berkata, ia susulan kebenaran kerajaan bagi operasi bazar berkenaan bagi memberi ruang perniagaan kepada peniaga.
"Tetapi, haruslah mengikut SOP yang ketat dan pasukan polis akan ditempatkan di bazar-bazar Ramadan yang akan dibuka nanti.
"Bilangan anggota yang akan ditempatkan bergantung kepada lokasi saiz bazar itu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai