PM: Menteri Umno setuju kekal dalam kerajaan
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dia telah menemui para menteri dari Umno dan menasihati mereka untuk kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin berkata pertemuan itu dibuat pada Isnin lalu, iaitu sehari selepas tamatnya Perhimpunan Agung Umno (PAU).
"(Dalam pertemuan itu) Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet, berikutan keputusan PAU bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.
"Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
"Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet," katanya dalam kenyataan.
Selain memuktamadkan keputusan tidak lagi bekerjasama dengan Umno, PAU 2020 turut memberi mandat kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tarikh menarik diri daripada kerajaan PN.
Zahid berkata, apabila tarikh itu diputuskan, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meletak jawatan bersama.
Pada masa sama, dia turut mencabar seorang menteri daripada Umno, yang didakwanya 'menikam' parti dari belakang, untuk letak jawatan.
Muhyiddin berkata lagi, dengan keputusan yang dicapai dengan barisan menteri Umno, Kabinet akan terus berfungsi seperti biasa.
"Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini (untuk memerangi wabak Covid-19).
"Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara," katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membayangkan Umno akan menarik diri daripada kerajaan pada Ogos ini, iaitu apabila penguatkuasaan darurat dijadual tamat.
Para pemimpin Umno dalam kerajaan juga membayangkan mereka akan kekal dalam kerajaan atas "kapasiti individu" sehingga waktu itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai