Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: 'Perang saudara' PN atau urus negara lebih penting?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoal urus tadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengemudi negara apabila kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada Singapura.

Ia selepas selepas Putrajaya membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura kerana membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

"Apakah kerajaan PN masih berminat menjalankan pentadbiran untuk kepentingan rakyat atau terlibat dalam 'perang saudara' untuk survival politik?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Penamatan projek HSR diumumkan pada 1 Januari tahun ini setelah perjanjian dua hala berakhir.

Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api, tetapi Singapura tidak setuju dengan rancangan itu, yang akhirnya membawa kepada penamatan perjanjian antara kedua negara bagi projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung memaklumkan alasan utama mengapa kedua-dua negara tidak dapat mencapai kesepakatan mengenai projek HSR adalah kerana Malaysia ingin menyingkirkan AssetsCo.

Di bawah model AssetsCo, Malaysia dan Singapura mesti bersama-sama meminta tender antarabangsa untuk melantik syarikat yang sesuai untuk mengambil peranan sebagai AssetsCo.

Putrajaya berkata, perubahan yang dicadangkan itu memandangkan keadaan ekonomi Malaysia ketika ini.

Sementara itu, Lim mempersoal rancangan alternatif untuk projek HSR berakhir di Johor Bahru apakah ia mempunyai kedudukan kewangan yang mampan.

"Ini tidak dapat dilaksanakan kerana menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kewangan projek dan kesan ekonomi positif negara ini jika HSR tidak berhenti di Singapura.

"Tidak dinafikan bahawa Johor akan menjadi yang paling rugi dari projek HSR dibatalkan.

"Buat masa ini, rakyat Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor masih menunggu kemajuan dalam projek alternatif itu," katanya.