Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas presiden bank disyaki terima rasuah lulus pinjaman RM400 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank yang bergelar Datuk, merupakan antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta.

SPRM menahan mereka yang berumur antara 49 dan 53 tahun itu, di sekitar Kuala Lumpur semalam dan Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, telah mengarahkan kesemua mereka direman selama tiga hari sehingga 2 April.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat individu itu dipercayai menerima rasuah kira-kira SGD3,168,366 atau kira-kira RM8 juta, sebagai komisyen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

Sumber itu menyatakan, bekas presiden merangkap pengarah urusan bank itu dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah yang diterima.

Menurut sumber itu, setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperolehi, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

“Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah, dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan,” kata sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

- Bernama