Skip to main
Logo Malaysiakini

Reezal: PAU tak nyatakan menteri Umno kena letak jawatan serta merta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), tidak menyatakan keperluan untuk menteri daripada Umno meletak jawatan serta merta dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, menteri-menteri daripada Umno mempunyai tugasan yang perlu digalas serta keutamaan, dan ‘bergelumang’ dalam perjuangan untuk rakyat, termasuk dalam program imunisasi Covid-19, kesihatan dan isu belia.

“Kalau kami abaikan tanggungjawab, parti (Umno) yang akan dapat nama buruk, mereka akan mengatakan menteri Umno tidak menjalankan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, semua menteri daripada Umno akan terus kekal dalam Kabinet kerajaan PN, setelah kesepakatan itu dicapai dalam pertemuannya dengan menteri-menteri daripada Umno pada Isnin, yang meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet.

Pada Ahad lalu, PAU 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan, hingga pembubaran Parlimen.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada majlis berasingan berkata, beliau akan terus fokus untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kerajaan, selagi Umno belum membuat apa-apa keputusan berhubung ahli yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan PN.

“Pendirian kita terikat kepada keputusan parti (Umno), selagi parti tidak buat apa-apa keputusan, jadi kita terus fokus tugas kita dalam kerajaan,” katanya selepas pelancaran kolaborasi korporat bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya.

Khairy adalah Menteri Penyelaras program immunisasi berkenaan.

- Bernama