Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu tarik MCA, MIC di belakang Umno, kata exco Pemuda

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin Pemuda Umno mendakwa Bersatu secara rahsia cuba menarik MCA dan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Apabila kita telah bersama membentuk kerajaan PN, pada satu ketika mereka menarik (MCA dan MIC) di belakang Umno.

“Untuk menarik MIC ke ke dalam PN. Kita tahu, umum tahu… Mungkin ada sikit kekhilafan prosesnya, dan MIC menarik diri.

“MCA juga beberapa kali, saya rasa dua tiga kali kali dipujuk untuk memasuki PN di belakang Umno,” kata exco pergerakan itu Fadzmel Fadzil.

Fadzmel berkata demikian dalam program webinar bertajuk 'Senario Politik Selepas Perhimpunan Agung Umno', yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Fadzmel mewakili Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri mesyuarat parti.

Ahli panel lain ialah Naib Ketua Pemuda MCA Chua Hock Kuan dan Setiausaha Agung Gerakan Mak Kah Keong, dengan ketua eksekutif KLSCAH Ooi Heng sebagai moderator.

Ooi kemudian bertanya kepada Chua berkaitan dakwaan Fadzmel.

"Saya tidak dipujuk. Saya tidak tahu. Saya di tengah sahaja," kata Chua.

Ketua MCA Kelantan itu berkata bahawa majlis jawatankuasa pusat MCA telah pun membuat keputusan untuk kekal bersama BN dan akan menggunakan logo gabungan itu pada PRU15.

Pada Ogos tahun lepas, MIC mengambil keputusan tidak menyertai PN.

Dalam perhimpunan agung Umno minggu lalu, beberapa pemimpin termasuk presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, mendakwa bahawa Bersatu cuba memikat dan memberi rasuah kepada pemimpin Umno.

Sementara itu, mengenai Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15 yang akan datang, Chua berkata bahawa keputusan itu pasti akan mempengaruhi hala tuju BN pada masa akan datang.

"Pada saya keputusan yang Umno buat boleh dibuat, namun untuk BN, keputusan itu perlu balik kepada majlis tertinggi BN.

"Kalau dulu (kami) bertanding di bawah BN dan BN membuat keputusan en-bloc menyokong dan mendukung kerajaan PN, keputusan PAU perlu di bawah masuk mesyuarat BN dan dibuat keputusan bersama," tambahnya.

Chua berkata, dia yakin perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan BN akan datang kerana Zahid juga presiden gabungan itu.

Pada PAU hujung minggu lalu, ahli Umno memberi mandat kepada Zahid dan majlis tertinggi Umno untuk memutuskan tarikh keluar dari kerajaan PN.

Zahid berkata parti itu akan menarik diri sekiranya Bersatu memutuskan untuk tidak memanggi; pilihan raya umum sehingga penggal parlimen sekarang berakhir pada 2023.

Dia juga memberitahu bahawa BN telah memutuskan untuk bertanding PRU15 secara solo.