Peruntukan perlembagaan dah cukup, tak perlu ordinan baru - Ideas
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan sudah cukup untuk kerajaan menggunakan dana awam dalam keadaan darurat, kata Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).
Oleh itu, tidak ada keperluan untuk menggubal ordinan baru bagi membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri menambah perbelanjaan tanpa pengawasan parlimen, kata Ideas.
"Dengan ruang seperti yang termaktub dalam perlembagaan, kerajaan tidak perlu membuat pindaan terhadap ordinan tersebut dan menafikan hak parlimen dalam keputusan berkaitan Kumpulan wang Disatukan (consolidated funds).
"Selain itu, Yang di-Pertuan Agong telah membenarkan parlimen bersidang dalam tempoh darurat.
"Kerajaan harus memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan kelulusan parlimen bagi dasar kewangan dan membuktikan bahawa mereka akan menangani krisis kesihatan ini dengan penuh kebertanggungjawaban," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh dalam satu kenyataan hari ini.
Ideas menjelaskan bahawa perlembagaan memberi mandat kepada kerajaan untuk mendapatkan persetujuan parlimen bagi perbelanjaan atau pengeluaran dari Kumpulan Wang Disatukan, kecuali untuk pinjaman berkanun dan beberapa perbelanjaan yang berkaitan dengan dana amanah.
Walaupun dalam menangani situasi darurat yang mendesak, Ideas berkata perlembagaan menuntut kerajaan mendapatkan persetujuan parlimen, walaupun terdapat sedikit kelonggaran.
"Mesej dalam Perlembagaan adalah jelas; kerajaan mesti bertanggungjawab kepada parlimen jika mereka ingin menggunakan wang rakyat," katanya.
Yeoh juga berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 58 peratus tahun ini, iaitu hampir dengan jumlah siling hutang sebanyak 60 peratus pada suku pertama 2021.
Ia bermakna sikap berhati-hati, pengawasan dan kebertanggungjawaban dalam membelanjakan perbelanjaan rakyat lebih penting sekarang berbanding sebelum ini, menurutnya.
"Akhirnya, langkah ini menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan berhasrat melanjutkan tempoh darurat selepas Ogos.
"Dengan status demokratik Malaysia yang telah mengalami kemerosotan yang membimbangkan dalam beberapa bulan terakhir ini, ditambah pula dengan undang-undang ordinan darurat berkaitan 'berita palsu' pada awal bulan Mac, soalan harus dibangkitkan adakah kerajaan Perikatan Nasional ingin lakukan apa saja untuk mengelakkan daripada parlimen bersidang semata-mata untik terus berkuasa," katanya lagi.
Satu undang-undang yang membenarkan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat, telah diluluskan.
Ini bermakna, Perbendaharaan Malaysia, menteri besar atau ketua menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa kelulusan wakil rakyat.
Perkara ini digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini. Ia memperkenalkan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai