Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadapi PRU-15 sendirian bukan keputusan muktamad BN, kata MIC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung MIC M Asojan berkata bahawa sebarang keputusan muktamad berhubung pendirian BN berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi BN.

Menurutnya, kenyataan Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan menghadapi PRU15 secara bersendirian merupakan pandangan peribadinya atas kapasiti sebagai presiden Umno.

"Sama ada BN bertanding secara bersendirian pada PRU15, akan ditentukan dalam mesyuarat majlis tertinggi BN.

"Saya percaya, bila Zahid berkata dalam perhimpunan agung Umno (PAU) bahawa BN akan bertanding bersendirian, ia merupakan kapasitinya sebagai presiden Umno.

"Keputusan muktamad harus berdasarkan majlis tertinggi BN, yang akan bersidang dalam waktu terdekat," katanya.

Dia berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar Zahid sebelum ini di PAU minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata, Umno - yang mengetuai BN - perlu menang paling banyak kerusi untuk kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan gabungan selepas itu.

“BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU15, pertamanya kita mesti menang kerusi terbanyak," kata Zahid.

Namun, Malaysiakini difahamkan bahawa MIC tidak selesa dengan keputusan Zahid yang menyatakan bahawa mereka akan putus hubungan dengan Bersatu.

Sumber itu juga memberitahu bahawa MIC yang akan mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-74 bermula esok akan menyentuh isu kerjasama dengan Bersatu dan kerajaan PN.

Mesyuarat itu diadakan di Klang dan buat pertama kalinya akan berlangsung secara maya dan bersemuka melibatkan hampir 2,000 delegasi seluruh negara.

Untuk rekod, secara tradisi presiden Umno selaku pengerusi BN akan memberikan ucapan amanat dalam mesyuarat agung tahunan MIC.