Skip to main
Logo Malaysiakini

Tengku Permaisuri Selangor sampaikan berita RTM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sempena sambutan ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa RTM, menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana pada jam 8 malam, semalam.

Istana Selangor dalam satu hantaran di laman Facebook ‘Selangor Royal Office’ hari ini menyatakan, penyampaian berita oleh Tengku Permaisuri Norashikin itu diadakan di Studio Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Menurut Istana Selangor, kali terakhir Tengku Permaisuri Selangor ke udara adalah lima tahun lepas, iaitu pada 31 Ogos 2016 dan ini merupakan kemunculan julung-julung kali baginda di RTM sebagai pembaca berita.

“Baginda telah bertugas sebagai pembaca berita di RTM selama 20 tahun bermula pada tahun 1996.

“Sepanjang Tengku Permasuri Selangor menjadi pembaca berita, baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada 2001 dan 2005,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas sambutan ulang tahun ke-75 RTM pada 1 April.

Sultan Sharafuddin berharap agar RTM terus menjadi wadah penyebar maklumat dan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat jelata, serta terus relevan sebagai sumber media utama yang sahih dan berkaliber.

- Bernama