Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada sesiapa dapat sokongan majoriti jadi PM sekarang - Kit Siang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tidak ada mana-mana individu yang boleh mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk menjadi perdana menteri sekarang, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata demikian selepas Umno dalam perhimpunan agung tahunannya baru-baru ini memutuskan hubungan dengan Bersatu, manakala Bersatu dan PAS berikrar memperkuatkan kerjasama mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

"Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang belum pernah berlaku di mana tiada sesiapa pun memiliki sokongan majoriti di parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri pertama di Malaysia yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

"Kerana inilah parlimen digantung sidangnya dan darurat diisytiharkan atas alasan kononnya untuk mengekang wabak Covid-19," katanya ketika berucap dalam satu program DAP di Skudai Johor malam tadi.

Lim berkata dia gembira apabila ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengatakan pembangkang harus bergerak maju ke depan, mengukuhkan idealisme rakyat dan memberikan tumpuan untuk mempersiapkan jentera pilihan raya.

"Pakatan Harapan harus memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kita harus meninggalkan “permainan angka” yang berlegar dalam lingkungan persoalan tentang pihak mana yang dapat mengumpulkan sokongan majoriti di parlimen untuk menjadi perdana menteri sebelum pilihan raya umum seterusnya," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS memenangi 18 daripada 158 kerusi parlimen yang ditandinginya.

Umno pula memenangi 54 daripada 121 kerusi parlimen, menjadikannya parti tunggal yang memiliki kerusi terbanyak.

Bagaimanapun selepas pilihan raya umum, Umno kehilangan 15 kerusi apabila ahli parlimennya melompat kepada Bersatu.

BN kini mempunyai 42 kerusi di Parlimen, dengan Umno memiliki 38 kerusi.