Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kartel polis: Betapa pentingnya penubuhan IPCMC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Biasanya Ketua Polis Negara (IGP) di Malaysia mempunyai kecenderungan untuk membuat kenyataan selepas mereka bersara. Namun IGP sekarang, iaitu Abdul Hamid Bador, membuat kenyataan dan pendedahan semasa dia masih bertugas. Ini satu hal yang tidak pernah berlaku. Pendedahannya semasa wawancara Sinar Harian pada 18 Mac 2021 bukannya sesuatu yang mengejutkan, tetapi menghairankan.

Untuk sekian lama, kita didedahkan dengan istilah “deep state” (negara dalam negara atau pemerintah tersembunyi), di mana wujudnya satu kerajaan rahsia yang berkuasa di sebalik kerajaan yang sah. Sering juga terdengar dakwaan berkenaan tauke-tauke dunia jenayah (underworld) yang beroperasi dengan perlindungan polis.

Sekarang IGP pula bercakap tentang kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cuba menjatuhkannya. Apabila rakyat ada masalah, mereka akan mengadu kepada polis untuk siasatan; tetapi apabila IGP sendiri yang mengadu, siapa pula yang nak siasat?

Untuk sekian lama, golongan Sosialis berpandangan bahawa kelas yang memerintah ialah kelas kapitalis. Hari ini, pendedahan IGP sedikit sebanyak menunjukkan terdapat golongan peniaga dan korporat yang begitu berpengaruh, sehingga telah menyusup masuk ke dalam struktur polis. Saya ucapkan tahniah kepada Abdul Hamid kerana membuat pendedahan ini walaupun ia mungkin berisiko kepada dirinya sendiri. Untuk seorang IGP membuat pendedahan sedemikian, kemungkinan besar dia dalam keadaan tertekan, tiada pilihan lain atau terpinggir.

Pendedahan mengenai kewujudan kartel dalam PDRM ini pula disusuli dengan pendedahannya mengenai kebocoran maklumat berkaitan Ops Pelican 3.0 bagi memburu ketua sindiket pengubahan wang haram terbesar di negara, Datuk Seri Nicky Liow. Dia berkata pembocoran maklumat berkenaan melibatkan 34 orang pegawai dan anggota agensi penguatkuasa yang disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya ialah anggota polis. Ini adalah angka yang besar dan mencemaskan.

Apa yang amat menyedihkan, apabila terdapat desakan daripada NGO dan orang ramai untuk sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang bebas bagi menyiasat aduan daripada IGP, ia disambut dingin oleh parti pemerintah dengan berkata bahawa ia boleh disiasat secara dalaman. Jika ia boleh diselesaikan secara dalaman, kenapa pula IGP membuat pendedahan secara umum?

Selain itu, ia menimbulkan pelbagai persoalan dan kesangsian jika wujudnya tangan tersembunyi yang tidak mahu perkara ini didedahkan kepada masyarakat umum. Pada satu ketika dahulu, semasa Anwar Ibrahim ditumbuk dalam tahanan polis, hanya setelah RIC dibentuk barulah kita didedahkan bahawa IGP pada masa itu, Rahim Noor, adalah individu yang telah menyebabkan mata Anwar lebam.

Secara perbandingan, isu yang dibangkitkan oleh Abdul Hamid hari ini jauh lebih serius kerana ia melibatkan satu kartel dalam nadi PDRM. Ia bukan masalah seorang individu tetapi satu kumpulan yang mungkin juga boleh mengambil alih PDRM.

Semasa Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM ditubuhkan pada 2005, ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, kami pernah mengusulkan kepada suruhanjaya ini bahawa pihak polis tidak seharusnya dibenarkan untuk mendapat penajaan daripada badan korporat, kerana ini boleh mengkompromikan kepentingan orang awam yang membuat laporan polis terhadap badan korporat. Ini juga akan menyebabkan polis terpaksa “membalas budi” kepada golongan tersebut.

Wang untuk memperkasakan polis sepatutnya datang daripada sumber kerajaan dan bukannya daripada golongan peniaga yang sememangnya mempunyai agenda lain.

Selepas mendengar pendedahan IGP, saya berpendapat strategi terbaik untuk Abdul Hamid adalah mendedahkan identiti mereka supaya mereka tidak mendapat tempat untuk mengambil alih PDRM.

Berbalik kepada soalan asal - jika IGP mengadu, siapa yang nak siasat?

Ini menunjukkan betapa pentingnya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan. Dengan adanya mekanisme ini, sudah tentunya ia akan membolehkan polis dan orang awam membuat aduan kepada suruhanjaya ini. Polis dan rakyat akan mempunyai keyakinan dengan wujudnya sebuah badan yang bebas.

Jika ada aduan atau tohmahan palsu terhadap polis pun, suruhanjaya bebas ini akan dapat membersihkan nama mereka. Hari ini, semua badan sedia ada tidak menyakinkan kerana tiada kebebasan mahupun kuasa bertindak secara bebas dan berkecuali.

Rakyat dahagakan PDRM yang profesional dan berjiwa rakyat. Lencana mesra dan integriti yang dipakai oleh polis tiada gunanya jika ada pihak lain di luar sistem perundangan yang mengawal tindak-tanduk polis. Jika IGP mendedahkan segalanya, ini adalah langkah terbaik untuk keselamatannya dan ketenteraman negara.

Untuk jangka masa panjang, adalah mustahak untuk IPCMC yang dicadangkan sejak tahun 2006 itu diluluskan di dalam Parlimen.    


S ARUTCHELVAN adalah timbalan pengerusi PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.