Skip to main
Logo Malaysiakini

Hisham: Ungkapan 'abang' untuk menteri luar China, tak rujuk hubungan dua hala

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas dikritik sejumlah pihak, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein tampil menjelaskan bahawa panggilan 'abang' yang diungkapnya bukan merujuk kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Sebaliknya, dia berkata ungkapan tersebut merujuk rakan sejawatnya dari republik itu, Wang Yi yang lebih tua dan berpengalaman daripadanya.

“Ungkapan yang saya gunakan tidak merujuk hubungan dua hala, memandangkan hubungan kukuh (antara Malaysia dan China) adalah berdasarkan saling percaya dan setara.

“Menghormati bahawa Wang Yi lebih tua, dan menteri luar negeri yang lebih senior (berbanding dirinya), justeru secara peribadi (dia) ‘abang’ kepada saya.

“Menunjukkan tanda hormat bukan menandakan kelemahan,” katanya di Twitter.

Semasa sidang media bersama Wang Yi di China, Hishammuddin menggelarkan China sebagai “abang” kepada Malaysia, dan dibalas Wang Yi dengan ungkapan "Kita adik-beradik".

“[…] You will always be our elder brother (anda akan sentiasa menjadi abang kepada kami)," katanya. Wan Yi pula membalas dengan berkata "Kita bersaudara (We are brothers)".

Kata-kata dua rakan sejawat itu dilaporkan oleh media nasional China.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberi jaminan prinsip dan dasar luar Malaysia akan terus dipertahankan.

"Jangan bimbang, dari segi dasar luar Malaysia kekal bebas, berprinsip dan pragmatik - berasaskan nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan, dan kesetaraan.

“Kita akan terus memberi sumbangan bermakna ke arah komuniti negara-negara yang adil dan saksama," katanya lagi.

Apa yang berlaku ketika sidang media tersebut mengundang perhatian, antaranya oleh pemerhati hubungan antarabangsa yang menyuarakan kebimbangan bahawa penggunaan istilah itu boleh disalah tafsir bahawa Malaysia tunduk kepada China.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim juga menyifatkan tindakan Hishammuddin bertentangan dengan pendirian diplomasi antarabangsa diamalkan Malaysia, sebagai sebuah negara berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.