Skip to main
Logo Malaysiakini

Kena halau rumah sewa: Jangan menangis wahai ibu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Pagi ini saya sepatutnya ada mesyuarat penting dengan saudara Lim Guan Eng, tapi last minute, saya terima makluman ada sebuah keluarga di Bukit Mertajam kena halau dari rumah sewa sebab ibu mereka tidak mampu bayar sewa.

Saya terus pergi ke sana dan mendapati mereka sudahpun berkemas dan duduk di luar rumah buntu sebab tak ada tempat nak pergi.

Ibunya Puan Ros ada sepuluh orang anak, paling kecil hanya berumur tiga tahun. Dia duduk di luar rumah menangis terkenang nasib anak-anaknya. 

Kasih seorang ibu tidak ternilai, susah senang anak didahulukan.

Saya bagi tahu Puan Ros, saya akan pastikan sebelum matahari turun hari ini, keluarga mereka akan ada bumbung atas kepala.

Kemudian saya bawa ibu, anak-anak kecil dan kakak-kakak ke Tesco BM untuk membeli barang-barang keperluan. Dua troli penuh kami belikan.

Cashier pun terkejut ingat kami borong untuk niaga. Moga-moga cukup bekalan Ramadhan sehingga hujung Syawal.

Lepas tu, budak-budak nampak kedai barang mainan, mereka terdiam, tapi saya tahu hati mesti tergerak juga. 

Saya ada anak kecil, tiap kali nampak kedai barang mainan mesti minta nak masuk. Saya bawa mereka masuk, beli mainan kegemaran mereka.

Kebetulan di luar Tesco ada bazar jual baju raya. Dah sampai kat situ, takkan tak beli. Jadi, seorang sepasang baju baru. Ibu kata tak perlu beli untuk dia, beli untuk anak-anak cukup. Ibu tak pernah beli baju raya. 

Saya bagi tahu anak-anak, kali ini kita mesti beli sepasang baju baru untuk ibu. Semua pakat pilih baju untuk ibu.

Kakak yang sekolah menengah, saya belikan tablet. Asal Cek Mau Pi Sekolah, pak cik akan pastikan adik-adik terus belajar walaupun susah macam manapun. Hanya ilmu di dada mampu mengubah nasib kita.

Last sekali kami makan mekdi tepi Tesco. Bila nak order, semua diam. Saya ingat mereka tak suka. Tapi rupa-rupanya, semua tak pernah makan mekdi jadi tak tahu nak pesan apa. 

Ok, takpa, pakcik tolong pesankan. Setiap seorang satu set Happy Meal, pakcik dan ibu makan burger.

Lepas tu, kami ke rumah baru. Puan Ros tanya sewa rumah berapa? Saya jawab jangan bimbang, saya akan tanggung sampai dia dapat rumah kerajaan nanti.

Lepas hampir setengah hari, kami semua pun letih. Tapi Puan Ros sekeluarga sekarang ada rumah baru, baju baru, tablet baru, peti ais dah penuh (sampai satu rak pecah 😅 sebab terlalu berat). 

Ibu minta satu saja, mesin pengisar nak masak untuk anak-anak.

Terlupa beli kat Tesco, jadi saya pergi pasaraya Wonderful beli blender jenama Khind. 

Bila dia dapat blender, ibu tersenyum begitu manis sekali. 

Saya dah janji ini hari gembira buat Puan Ros sekeluarga, syukur teramat sangat saya dapat berkongsi kegembiraan itu.


STEVEN SIM ialah anggota parlimen Bukit Mertajam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.