Skip to main
Logo Malaysiakini

3 kolej kediaman universiti di Sabah dikenakan PKPD

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalah pergerakan diperketatkan (PKPD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah setelah berlakunya penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di universiti tersebut dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal perintah kawalan pergerakan (PKP) serta mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tiga kolej kediaman (KK) UMS yang ditetapkan PKPD adalah di KK Tun Mustapha, KK Tun Fuad dan KK Tun Pengiran Ahmad Rafae.

Sehingga kini, jelas Ismail, seramai 133 pelajar telah disaring dan 19 mahasiswa disahkan positif Covid-19.

“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya.

Ismail turut menambah, pelaksanaan PKPD bagi UMS akan bermula 5 April sehingga 18 April.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan COVID-19 ke komuniti luar kolej kediaman,” jelasnya.

Ismail turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Pagalungan Ansip di Keningau dan Kampung Kalindukan di Nabawan susulan peningkatan kes Covid-19 di perkampungan Sabah.

Ia berkuat kuasa tengah malam ini hingga 18 April.

Ismail turut mengumumkan lanjutan PKP di kawasan Keningau sehingga 18 April.

Sementara itu, pelaksanaan PKPD di Taman Guru, Kuantan di Pahang - yang seharusnya berakhir 9 April - akan ditamatkan esok.

Tambahnya, sebanyak 481 ujian saringan dilakukan dan 89 penduduk disahkan positif Covid-19.