Skip to main
Logo Malaysiakini

Guru warga Rusia jelaskan 'salah faham' lepas permit dibatalkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aktivis kemanusiaan dari Rusia, Valeriya Astashova mengajar bahasa Inggeris di sebuah perkampungan Orang Asli di Perak awal Mac apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) secara tiba-tiba menghalangnya untuk melaksanakan khidmat masyarakat itu.

Pada masa itu, dia bersama penduduk kampung di Pos Woh, Tapah, Perak dimaklumkan oleh Jakoa bahawa program bahasa Inggeris yang dianjurkannya terpaksa dibatalkan kerana Astashova tidak mempunyai dokumen visa yang lengkap.

Bagaimanapun, pada 2 April lalu, Bernama melaporkan pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas kepada warga Rusia itu kerana didakwa masih melakukan kutipan derma bagi meneruskan program yang sudah dibatalkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abd Latiff Ahmad dipetik sebagai berkata, Jakoa sebelum ini telah memberikan surat kebenaran kepada Astashova untuk melakukan program bahasa Inggeris di Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah pada 14 Disember 2020.

Jelasnya, Jakoa memberi kebenaran tersebut bagi membuka peluang kepada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan Orang Asli.

“Bagaimanapun, Jakoa mendapat aktivis tersebut didakwa menyalah guna dewan kampung tersebut untuk penginapan persendirian, serta membawa orang lain tanpa kebenaran. Kutipan derma juga tidak dibuat dari mana-mana organisasi berdaftar,” jelasnya.

Dr Abdul Latiff Ahmad

Pada Ahad lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata, Jakoa harus berhati-hati dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti kepada Orang Asli.

Astashova yang tertekan mengatakan bahawa dia terkejut serta bingung setelah mengetahui hal tersebut melalui berita.

Dia turut menafikan segala dakwaan tersebut.

“Saya tak percaya dengan apa yang terjadi. Saya tak bersembunyi, polis dan pihak berkuasa ada nombor telefon saya, mereka tahu lokasi saya tetapi selepas saya baca hal ini melalui berita. Ini mengejutkan.

“Saya percaya ada salah faham. Ia boleh diselesaikan jika kita duduk dan bercakap, bukan melalui media,” kata Astashova kepada Malaysiakini.

Astashova mengatakan bahawa dia menyelaraskan sumbangan yang berkaitan dengan pakaian, mainan, makanan dan sebagainya untuk kampung Pos Woh, tetapi pihak penerima adalah penduduk kampung.

Jelasnya, dia juga tidak pernah mengutip derma berbentuk wang bagi komuniti Orang Asli namun ada berkongsi nombor telefon kepada pihak yang ingin menderma kepada pemimpin Orang Asli.

“Jadi semua perbualan di antara penderma dan penduduk kampung,” jelasnya.

Pegang pas lawatan sosial

Berhubung dakwaan isu visanya yang tidak lengkap, warga Rusia itu berkata dia kini berada di Malaysia dengan pas lawatan sosial dan penangguhan permohonan lanjutan visa akan berkuat kuasa sehingga berakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.

Jelasnya, Jakoa turut maklum akan status visanya ketika dia memohon permit untuk melakukan kelas bahasa Inggeris buat penduduk kampung Semai di Pos Woh.

Astashova turut menjelaskan dakwaan penyalahgunaan dewan kampung sebagai tempat penginapan dan membawa individu lain tanpa kebenaran.

Katanya, dia telah meminta kebenaran Jakoa untuk membawa anaknya yang berusia 10 tahun ke perkampungan tersebut.

“Kemudian mereka kata tidak mengapa (untuk bawa anak saya).

“Saya juga tak tinggal di dewan tersebut, ada bilik dalam dewan itu yang kosong dan tidak digunakan.

“Saya tinggal dengan tok batin dan keluarnya sehingga dua minggu terakhir. Mereka berkata, saya boleh guna bilik belakang dewan jika saya bersihkan dan membaikinya. Saya hanya tinggal di bilik itu dua minggu,” jelasnya.

Astashova turut menafikan dakwaan bahawa dia telah mengkritik khidmat kesihatan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada komuniti Orang Asli menerusi media sosial.

Jelasnya, dia malah membantu pegawai perubatan yang datang ke perkampungan itu setiap beberapa minggu. Dia juga menyatakan hanya menulis di Facebook berhubung komuniti Orang Asli wanita yang tidak selesa berbincang isu perempuan kepada pegawai perubatan lelaki.

Tambahnya, dia tidak bermaksud untuk mengkritik namun hanya mengetengahkan isu tersebut supaya ia dapat diselesaikan.

Terkandas kerana PKP

Astashova tinggal di Thailand selama tujuh tahun - dari 2013 hingga 2020 - kerana menguruskan sebuah hostel di pulau Koh Tao.

Dia bersama anaknya telah terkandas di Kuala Lumpur sejak Mac lalu selepas menghabiskan masa beberapa minggu di negara ini untuk melakukan aktiviti khidmat masyarakat kepada pelarian Afghanistan.

Kemudian, dia akhirnya tidak dibenarkan masuk ke Thailand lagi.

Dia akhirnya mendapat izin untuk meneruskan projek komuniti itu sehingga diberhentikan secara mendadak.

Selain itu, Astashova turut meluahkan rasa hairan dengan dakwaan bahawa dia menolak untuk meninggalkan kampung itu selepas permitnya ditolak dan dikatakan mengkritik Jakoa, kementerian pembangunan luar negara dan kerajaan Malaysia.

“Saya tidak membantah arahan. Saya pergi kerana diminta.

“Saya juga tak pernah mengeluarkan kenyataan kritikan terhadap Jakoa, kementerian dan kerajaan Malaysia. Saya tidak akan berbuat demikian. Saya sangat keliru,” katanya.

Astashova kini di Kuala Lumpur kerana ingin memberikan petisyen kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan pembatalan permitnya supaya dia boleh terus mengajar bahasa Inggeris kepada penduduk Orang Asli di Pos Woh, Tapah.

Tambahnya, ketua kampung Pos Woh, Pengerusi Majlis Penasihat Pembangunan Kebangsaan Orang Asli (MPPKOA), setiausaha dan tok batin telah menandatangi surat untuk menyokongnya.

“Selepas apa yang berlaku, saya masih berharap mereka membenarkan saya untuk mengajar.

“Saya berharap untuk tinggal dan mengajar lagi enam bulan atau lebih kerana kita dah mulakan beberapa projek dan untuk anak murid saya, mereka telah melakukan tugas yang sangat baik,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pengarah Jakoa Juli Edo dan Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur bagi respons lanjut.