Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP, MCA nafi ekstrem seperti didakwa Mahathir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MCA dan DAP hari ini tampil menepis dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kedua-dua parti itu ada kalanya bersikap "ekstrem".

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan secara berasingan berkata parti mereka berpegang teguh pada pandangan yang sederhana tanpa mengira komposisi kaum anggotanya.

"Kami selama ini menyokong jalan tengah," kata Chong seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Chong berkata Mahathir sering melabelkan semua orang sebagai melampau kecuali dirinya sendiri.

"Biarkan rakyat Malaysia menilai sendiri," katanya seperti yang dilaporkan semalam.

Sementara itu, Lim dalam satu kenyataan pagi ini mengatakan tuduhan Mahathir terhadap DAP adalah "salah, tidak berasas dan mengelirukan."

"Mahathir salah kerana sejarah dan fakta membuktikan bahawa DAP adalah parti berbilang kaum yang berusaha mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

"Tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang melihat dirinya sebagai orang Melayu melebihi hal-hal lain, DAP melihat diri kami orang Malaysia mengatasi segala-galanya," tegas bekas menteri kewangan itu.

Selain daripada sejarah perkhidmatan mereka, kata Lim, DAP juga tidak pernah mendiskriminasi atau mengambil tindakan yang memudaratkan hak serta kepentingan rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama.

Terpulang kepada Umno

Sebaliknya, bekas tahanan ISA itu mengatakan ada pemimpin DAP yang dimasukkan ke penjara kerana mempertahankan hak orang Melayu selain orang bukan Melayu.

"Mahathir juga terkeliru apabila dia gagal melihat bahawa DAP bersifat inklusif dan memilih wakil daripada semua kumpulan etnik utama - termasuk Melayu - dan orang tempatan Sabah dan orang Sarawak.

"Lebih-lebih lagi DAP secara konsisten tidak pernah gagal mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi bahawa DAP juga ada kalanya "melampau" berdasarkan pengalaman kerjasamanya sebelum ini.

Begitu juga dengan MCA kata Mahathir ada kalanya juga turut melampau.

Dia bagaimanapun tidak menolak bahawa Umno boleh menjalinkan hubungan dengan DAP, memandangkan parti itu sekian lama bekerjasama dengan MCA.

“Terpulang kepada Umno.

"Umno sudah kerja dengan MCA dan MCA juga pada satu ketika ekstrem,” kata Mahathri ketika ditemui pemberita selepas merasmikan satu forum di Ampang.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan bahawa ada kemungkinan bagi Umno untuk bekerjasama dengan DAP sekiranya parti itu tidak melampau.