Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Kalau soal infrastruktur data, kenapa FB dan Google pilih Indonesia?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempertikaikan penjelasan kerajaan tentang alasan Facebook dan Google tidak melibatkan Malaysia dalam projek kabelinternet bawah laut yang menghubungkan Singapura dan Indonesia ke Amerika Utara.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam mengatakan alasan syarikat gergasi teknologi memilih Singapura daripada Malaysia adalah kerana Facebook sudah membina pusat data di sana sementara Malaysia kekurangan infrastruktur data.

Bagaimanapun, Lim mengatakan bahawa alasan itu tidak menjelaskan mengapa syarikat gergasi teknologi itu bersedia menghubungkan kabel bawah laut ke Indonesia.

"Wee tidak jujur ketika dia mengatakan alasan Singapura dipilih oleh syarikat gergasi berteknologi tinggi ini kerana Facebook telah membina pusat data di Tanjung Kling Data Centre Park di negara itu.

"Sekiranya demikian, mengapa Indonesia juga dipilih dan bukan Malaysia?" soal Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Lim juga membidas Wee kerana cuba menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung perkara itu.

"Wee kemudian menyalahkan kerajaan PH atas kekurangan infrastruktur data kerana antara 2018 dan 2019, Malaysia membuang masa dan wang untuk idea-idea ketinggalan zaman seperti membangunkan kereta terbang dan bukannya pusat data dan revolusi industri 4.0.

"Wee sebenarnya mengkritik rakan Mmnterinya sendiri, Mohd Redzuan Md Yusof, yang memulakan idea-idea mengenai kereta terbang dan masih meneruskan projek kesayangannya itu. Apa yang berlaku dengan kesatuan dan tanggungjawab bersama kabinet menteri PN?" katanya.

Lim berkata Wee tidak boleh melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain berhubung perkara itu.

Semalam, Wee menegaskan bahawa keputusannya untuk mengembalikan dasar kabotaj bukan sebab yang mengakibatkan Facebook dan Google tidak melibatkan Malaysia dalam projek kabel bawah laut itu.

Sebelum ini kerajaan PH telah memberi pengecualian dasar kabotaj terhadap kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel bawah laut.

Facebook, Google, Microsoft dan MyIX tahun lalu meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian itu dengan menekankan bahawa mereka perlu memastikan kerja pembaikan kabel bawah laut dilakukan dengan cepat dan memastikan waktu henti internet minimum.

Mereka juga mengatakan hanya satu syarikat tempatan yang mampu melakukan pembaikan dan dasar kabotaj akan menyebabkan monopoli.

Namun, Wee tetap tegas dalam mengembalikan dasar kabotaj dan menafikan dakwaan monopoli akan berlaku .