Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis Tertinggi BN bermesyuarat malam ini, MIC belum sahkan kehadiran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Tertinggi BN dijangka akan bermesyuarat malam ini susulan keraguan berhubung gabungan parti menjelang pilihan raya kelak.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, MIC secara jelas menyatakan sokongan mereka kepada Bersatu.

Pendirian dua parti gabungan BN lain, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pula masih tidak jelas.

Sumber MCA mengesahkan bahawa pemimpin partinya akan hadir mesyuarat malam ini yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Umno di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Presiden MIC SA Vigneswaran ketika dihubungi Malaysiakini berkata, dia tidak tahu-menahu berhubung mesyuarat tersebut.

“Saya tidak tahu, saya tidak sihat. Biar saya bercakap dengan mereka dulu,” katanya setelah ditanya berhubung kehadiran MIC.

“Biar saya cakap dengan MCA dulu, kerana ada perubahan (pada agenda). Saya akan bercakap dengan Pengerusi BN dahulu,” katanya lagi.

BN, yang dipimpin Umno sejak 1974, telah menyertai Bersatu – yang diketuai Muhyiddin Yassin- PAS dan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan pada 1 Mac 2020.

Bagaimanapun, timbul ketegangan hubungan di antara Umno dan Bersatu.

Sebahagian Umno yang dipimpin Zahid mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu, manakala pemimpin parti itu yang lain - majoriti memegang jawatan kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) - dilihat mahu kekal bersama Bersatu dalam PN.

PAU baru-baru ini juga bersetuju memberikan mandat kepada Zahid untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan PN sekiranya Muhyiddin tidak memberi waktu jelas akan pelaksanaan PRU.

MIC juga telah menyatakan secara jelas ketika perhimpunan agung parti itu pada 3 April, bahawa pihaknya akan kekal menyokong Muhyiddin dan gabungan PN.

Bagaimanapun, parti itu kekal setia dengan BN dan gabungan itu juga akan memutuskan sama ada untuk mengikuti jejak Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sementar itu, tiada pendirian jelas dari MCA ketika perhimpunan agung parti itu pada 7 Mac lalu berhubung isu sama. Namun, terdapat resolusi bahawa parti itu akan bersama BN ketika PRU akan datang.

Malaysiakini masih menunggu respons PBRS.