Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar persoal penggalangan dana di Ambank, bimbang kaitan 1MDB

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap cadangan AMMB Holdings Berhad (Ambank Groups) untuk melaksanakan penempatan persendirian bagi menjana kira-kira RM810 juta.

Ini selepas The Edge melaporkan bahawa Ambank bercadang melaksanakan penempatan persendirian setelah lebih sebulan bersetuju membayar RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tindakan dan tuntutan tertunggak berkaitan penglibatannya dengan 1MDB.

Menurut laporan The Edge hari ini, dana ekuiti swasta itu dikendalikan oleh Nazir Razak yang sedang menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dilantik sebagai pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan berminat untuk mengambil alih saham AmBank.

"Masa dan keterlibatan pihak tersebut dalam pelaksanaan penggalangan dana di AmBank saat ini amat diragui, terutamanya dalam aspek tetakelola dan ketelusan. 

"Kita juga mahu tahu apakah BNM telah melakukan penelitian yang munasabah bagi memastikan transaksi ini mengikut piawaian yang beretika dan cemerlang.  

"Para pemerhati akan membayangkan apakah Malaysia akan sekali lagi melahirkan skandal kewangan terbesar berdasarkan fakta-fakta serta sikap Kementerian Kewangan dan BNM. 

"Tanpa fungsi dan peranan parlimen, amat sukar untuk kita mewujudkan imbangan serta penelitian yang berkesan terkait hal ini," kata Anwar dalam satu kenyataan tanpa menyebut nama Nazir.

Nazir Razak atas kapasitinya selaku pengerusi CIMB menerima RM25.7 juta daripada abangnya yang juga perdana menteri ketika itu, Najib Razak sebelum  disalurkan kepada ahli politik BN bagi menghadapi pilihan raya umum 2013. Wang berkenaan didakwa berasal daripada 1MDB.

Nazir kemudian berkata dia mempunyai niat baik untuk membantu abangnya setelah dimaklumkan bahawa wang berkenaan adalah sah. 

Siasatan dalaman CIMB pada 2016 mendapati bahawa Nazir tidak menyalahgunakan kedudukan bagi mengagihkan wang berkenaan, meskipun mengakui kelemahan beberapa proses.

Sementara itu Anwar menyatakan kebimbangan terhadap reputasi Malaysia di kalangan pelabur asing berikutan perkembangan itu.

"Saya bimbang dengan tidak adanya langkah proaktif dari pihak pemerintah dalam memastikan wujudnya keyakinan terhadap sistem kewangan negara.

"Malangnya, reputasi serta keupayaan Malaysia akan terus diragui oleh para pelabur serta institusi kewangan dalam dan luar negara kesan dari skandal 1MDB.

"Ini akan terus memberi dampak buruk pada ekonomi kita yang telah tersedia parah kerana sikap dan kelaku kerajaan PN," kata Anwar.

Sehingga sekarang, kata Anwar, Bank Negara Malaysia (BNM) belum memberi sebarang penjelasan berkaitan isu bayaran yang dibuat Jho Low kepada ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara.