Skip to main
Logo Malaysiakini

Pastikan ada izin jika balik sambut puasa di Kelantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berdepan dengan kelaziman anak Kelantan pulang ke kampung untuk menyambut ketibaan Ramadan, polis hari ini mengingatkan mereka akan berhati-hati atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata oleh kerana itu mereka mesti memastikan kepulangan berkenaan mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dulu.

Sebaliknya kata Shafien jika polis mendapati mana-mana individu yang melakukan perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung untuk menyambut puasa tanpa memiliki surat kebenaran akan diambil tindakan sewajarnya.

“Semasa nak menyambut Ramadan yang bakal tiba, orang Kelantan ni selalunya balik, nak jumpa orang tua, justeru berhati-hatilah dan pastikan mereka mendapat surat kebenaran perjalanan balik rentas negeri.

“Kalau tidak, mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Shafien berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Go To Safety Point (GTSP) sempena latihan simulasi peringkat Kelantan di Wakaf Bharu, hari ini.

Seperti kebanyakan negara lain di rantau Asia Tenggara, Malaysia dijangka memulakan puasa - atau 1 Ramadan - pada 13 April ini.