Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilik Mr DIY, Gnanalingam dan pengasas Greatech sertai senarai Forbes

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Empat tokoh korporat Malaysia terpilih untuk kali pertama menyertai senarai hartawan terkaya dunia tahun ini oleh majalah antarabangsa Forbes.

Dua daripada mereka ialah pasangan adik-beradik Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei yang memiliki syarikat Mr DIY Group (M) Bhd dengan masing-masing dianggarkan memiliki harta bernilai AS$1.8 bilion (RM7.43 bilion) dan AS$1.1 bilion (RM4.54 bilion).

Syarikat DIY Group disenaraikan di Bursa Malaysia pada 30 Okt tahun lalu dan ketika ini saham berkenaan didagangkan 245 peratus lebih tinggi daripada harga asalnya.

Seorang lagi hartawan yang tersenarai buat kali pertama ialah pengerusi Westport Holdings Bhd, G Gnanalingam. Nilai kekayaan Gnanalingam dianggarkan setinggi AS$1.7 bilion (RM7.01 bilion).

Tokoh perniagaan keempat yang disenaraikan Forbes ialah pengasas bersama Greatech Technology Bhd Tan Eng Kee yang menguasai kekayaan bernilai AS$1.1 bilion (RM4.54 bilion).

Tiga tokoh paling kaya di Malaysia tahun ini ialah Quek Leng Chan, diikuti Ananda Krishnan dan Teh Hong Piow.

Quek ialah pengasas bersama Hong Leong Group, Ananda Krishnan pula merupakan bos syarikat Maxis Group Bhd manakala Teh adalah pengerusi Public Bank Bhd.

Secara keseluruhan ada seramai 16 individu atau keluarga Malaysia mendapat tempat dalam senarai orang terkaya dunia yang dikeluarkan Forbes tahun ini.

Di sebalik kelembapan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19, Forbers mencatatkan jumlah bilionair teramai dalam sejarah kali ini apabila 2,755 orang disenaraikan.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com Inc, Jeff Bezos, menjadi orang terkaya di dunia dengan nilai harta dianggarkan sebanyak AS$177 bilion (RM730.3 bilion) diikuti bos Tesla Inc, Elon Musk (AS$151 bilion), Bernard Arnault dan keluarga (AS$150 bilion), Bill Gates (AS$124bil) dan Mark Zuckerberg (AS$97 bilion).

[Baca berita asal]