Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tangguh rayuan Wan Ji kurangkan hukuman penjara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rayuan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin untuk mengurangkan hukuman penjara berhubung dakwaan mengikut Akta Hasutan ditangguhkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Peguamnya, Ram Karpal Singh yang mengesahkan penangguhan itu berkata, Mahkamah Rayuan akan menetapkan satu tarikh baru berhubung rayuan tersebut.

“Mahkamah tangguhkan kes itu pada tarikh yang akan ditetapkan. Kita belum tahu sebab akan bagi tarikh baru,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Ji sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai 2019 yang menambah hukuman penjara daripada sembilan bulan kepada setahun susulan sabitan terhadapnya.

Ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000.