Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kereta hantu’ hantui Damansara Damai, Datuk Bandar mohon sabar sebentar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenderaan terbengkalai atau “kereta hantu” didakwa menjadi sarang pembiakan nyamuk dan haiwan liar mengganggu kegiatan perdagangan pekerja di sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya.

Pekerja logistik di sekitar kawasan tersebut Robert Lua Khang Hui memberitahu Malaysiakini, puluhan kenderaan lama sengaja ditinggalkan di bahu jalan dan sekitarnya tanpa diketahui pemilik, sejak beberapa tahun.

“Kereta buruk terbiar itu turut mencacatkan pemandangan sekali gus menghalang aktiviti perdagangan di kawasan tersebut.

“Didapati juga ada segelintir pihak sengaja meletakkan kenderaan dan menghalang lalu lintas.

“Pihak berkuasa harus mengambil tindakan segera dengan menyaman pihak yang sengaja menghalang lalu lintas kerana dikhuatiri akan melambatkan urusan pihak berkepentingan jika berlaku sebarang kecemasan seperti bomba, ambulans dan banyak lagi,” katanya.

Lua berkata pekerja di kawasan tersebut telah melakukan aduan sebanyak dua kali kepada pihak berkuasa tempatan namun tiada tindakan.

Tempat simpanan terhadap, kata Datuk Bandar

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohd Sayuthi Bakar berkata Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) akan mengambil tindakan secara berperingkat memandangkan jumlah aduan yang banyak dan tempat simpanan yang terhad.

“Sebelum tindakan menarik kereta ke tempat simpanan dibuat, MBPJ akan mengikuti proses perundangan semasa dengan memberi notis terlebih dahulu kepada pemilik kereta untuk mengalihkan kereta.

“Selepas tamat notis barulah tindakan sita dan menarik kereta dibuat,” katanya.

Mohd Sayuthi Bakar 

Mohd Sayuthi berkata, MBPJ memohon pihak yang terlibat untuk bersabar sedikit.

Tindakan sita, tambahnya, akan dibuat setelah ada kekosongan di tempat simpanan.

“Buat masa ini, MBPJ sedang mendapatkan tempat simpanan tambahan untuk menampung jumlah aduan yang banyak,” katanya.

MBPJ juga menyeru pemilik kenderaan terbiar agar lebih bertanggungjawab dan melupuskan sendiri kenderaan mereka.