Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas dakwa rumah dilelong kerana tunggakan RM975

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang warga emas mendakwa rumahnya dilelong ketika tempoh moratorium pinjaman bank hanya kerana tunggakan bernilai RM975.

P Letchumy, 60, justeru berhimpun di depan bangunan Bank Negara di ibu negara bagi memohon campur tangan bank pusat itu.

Dia berkata dia kini terpaksa menumpang di rumah lain selepas pembeli baru memotong bekalan air dan elektrik.

Terdahulu, anaknya M Mogana yang juga pemilik bersama rumah itu sejak 2015 menyerahkan memorandum kepada Bank Negara agar campur tangan menyelesaikan isu tersebut.

Memorandum hari ini merupakan yang kedua selepas ahli keluarga menyerahkan yang pertama pada Oktober tahun lepas.

Letchumy berkata dia membeli rumah tersebut pada tahun 2001 dan membuat pinjaman bank 20 tahun sebanyak RM31,500 dengan pembayaran bulanan RM268.

Sementara itu, timbalan presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan yang turut hadir berkata sejak 2001 sehingga Mac 2020, Letchumy membayar ansuran bulanan secara auto debit dan tiada tunggakan.

Bagaimanapun, katanya, pada Julai 2018, bank menaikkan bayaran bulanannya tanpa memaklumkan kepada Letchumy.

“Ini menyebabkan sejak Julai 2018 hingga Mac 2020 tunggakan bulanan menjadi tiga bulan RM975 sedangkan pemiliknya membuat bayaran bulanan RM268 seperti biasa.

"Lebih mengejutkan, pihak bank tidak memberitahu pemilik rumahnya mengenai tunggakan sebaliknya lelong rumah ketika tempoh moratorium," kata Arul.

Tambahnya, pemilik rumah hanya mendapati rumahnya dijual selepas melihat notis oleh pemilik baru yang ditampal di pintu rumahnya pada Oktober 2020.

"Mereka adalah keluarga B40, telah membayar pinjaman selama 17 tahun dan hanya perlu membayar untuk tempoh tiga tahun sahaja.

"Kini rumahnya telah dilelong hanya kerana tunggakan RM975 yang jelas bukan kesalahan mereka,” katanya..

Arul juga memberitahu bahawa pihak bank hari ini cuba menghubungi keluarganya untuk berunding tetapi “tiada hitam putih”.

Malaysiakini telah menghubungi bank tersebut dan masih menunggu maklum balasnya.