Skip to main
Logo Malaysiakini

2 masjid jadi perintis projek pusat transit mangsa keganasan domestik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua masjid dipilih sebagai projek rintis Masjid Santuni Masyarat untuk dijadikan pusat transit mangsa keganasan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun hari ini.

Katanya kementerian itu menerusi Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melaksanakan projek rintis berkenaan di Masjid al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Dalam projek ini, masjid akan menerima dan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan bilik asrama yang sedia ada di masjid, keperluan asas diri, dan makan minum sepanjang berlindung di masjid.

"Saya berharap projek rintis ini akan berjaya dan boleh disebar luas ke seluruh Malaysia, agar nasib wanita-wanita yang teraniaya ini dapat terbela dan dilindungi," katanya pada program penyampaian sumbangan imarah Ramadan masjid-masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Rina berkata pengurusan masjid dan surau diharap dapat menjadi ejen penyampai inisiatif bantuan kerajaan kepada kariah kawasan masing-masing.

Sebanyak tujuh masjid, 17 surau dan empat NGO kawasan parlimen itu turut menerima sumbangan wang tunai pada majlis berkenaan.

- Bernama