Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Hanya 37% warga dewasa di Johor daftar vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kluang membangkitkan data kerajaan yang menunjukkan hanya 36.6 peratus golongan dewasa di Johor yang mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat 6 April.

Justeru, Wong menggesa kerajaan negeri menggiatkan usaha agar lebih ramai yang mendaftar.

"Jika kita ingin membuka semula sempadan antara Malaysia dan Singapura bagi membenarkan ribuan keluarga bersatu semula, kerajaan mesti menggunakan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ untuk mempercepat pendaftaran, khususnya di Johor.

"Pada masa ini kita sepatutnya sudah jelas yang lebih awal kita mencapai imuniti kelompok menerusi vaksinasi, lebih cepat kita dapat pulih daripada kemerosotan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wong, antara usaha yang diambil DAP di kawasan Parlimennya adalah untuk mendapatkan bantuan bekas ahli majlis dan ketua kampung untuk membantu pendaftaran.

Wong Shu Qi

Katanya, kerajaan negeri juga perlu menimbang untuk membuat langkah sama dengan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung semasa.

"Ini masanya semua lantikan politik untuk bekerjasama setelah bersaing merebut jawatan," katanya lagi.

Katanya lagi, pengalaman pejabatnya dalam melaksanakan kempen pendaftaran di pasar dan masyarakat luar bandar mendapati ramai tidak mendaftar kerana kurang mahir teknologi - terutama golongan warga emas dan masyarakat luar bandar.

"Ini dibuktikan oleh statistik seluruh negara yang menunjukkan bandar seperti Johor Bahru dan Kulai ada kadar pendaftaran yang tinggi, manakala daerah lain dengan populasi golongan muda yang kecil dan masyarakat luar bandar yang besar dengan kadar lebih rendah," katanya.

Katanya, jurang digital dan usia menjadi antara halangan utama di Johor untuk mencapai imuniti kelompok.