Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Saya akan sumpah nama Allah, saya tak cipta audio Zahid-Anwar’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz berkata dia akan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencipta rakaman audio yang didakwa melibatkan Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim.

“Untuk menghentikan polemik dan perbuatan tuduh menuduh ini, saya akan bersumpah atas nama Allah bahawa saya tidak terlibat mencipta audio Zahid-Anwar dan tidak terlibat dalam penyebarannya, melainkan hanya berkongsi dengan beberapa group WhatsApp bagi membuktikan saya benar dalam isu sokongan Zahid kepada Anwar dan mereka yang menafikan sokongan ini salah,” katanya.

Zahid dan Anwar menafikan perbualan itu.

Faisal turut berkongsi rakaman layar sebaran di sebuah kumpulan Whatsapp yang mendakwa audio itu dicipta dengan bantuan pasukannya dan seorang menteri Umno.

Dia juga didakwa menyediakan skrip untuk perbualan itu.

Faisal yang kini digantung keahlian dalam Umno selama dua penggal (kira-kira enam tahun) bagaimanapun turut menjemput Zahid untuk mengambil tindakan sama.

"Sebelum saya bersumpah, saya ingin menjemput presiden Umno untuk bersumpah juga atas nama Allah bahawa suara dalam audio itu bukan suara beliau dan surat sokongan terhadap Anwar itu juga tidak benar dan beliau tidak terlibat dengan pemberian sokongan tersebut.

"Mari kita lakukan majlis bersumpah ini di Surau Ar Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.

Faisal berkata dia akan menghubungi setiausaha kerja Umno Mohd Sumali Reduan untuk mengatur majlis itu.

Rakaman audio itu mula tular dan menarik perhatian ramai sejak semalam.

Lebih memanaskan keadaan ia diedarkan selepas perhimpunan agung Umno bersetuju menarik sokongan.