Skip to main
Logo Malaysiakini

Hakim persoal kenapa lelaki masih ditahan lepas jalani hukuman penjara sehari

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Ab Karim Ab Rahman yang mendengar kes seorang warga Nigeria yang masih ditahan selepas menjalani hukuman penjara sehari sejak 15 Lalu, seperti hairan dengan situasi itu.

Timbalan pendakwa raya memberitahu mahkamah yang Simon Adavize Momoh masih dalam tahanan, dan dipindah daripada penjara Kajang ke pusat tahanan imigresen.

"Dia dipenjara sehari...dan mengapa dia masih ditahan? Mengapa dia tak dibebaskan selepas sehari?

"Hukuman penjara sehari itu sepatutnya (hukuman) simbolik," katanya.

Mahkamah mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan isteri Momoh, Low Kar Hui (gambar utama, kiri) menerusi peguam Vemal Arasan pada 1 April.

Permohonan itu menamakan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden.

Bagaimanapun, pendengaran ditangguhkan kepada 15 April selepas mahkamah dimaklumkan yang Pejabat Peguam Negara tiada masa yang cukup untuk membalas afidavit yang dibuat.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Vemal berkata dia dilarang bertemu anak guamnnya dan tidak tahu Momoh ditahan mengikut seksyen mana.

"Kami tidak tahu dia ditahan mengikut seksyen mana, jadi beban pembuktian adalah di pihak mereka (responden) untuk menunjukkan penahanan itu mengikut undang-undang.

"Hakim juga tidak gembira kerana (penjara) sehari adalah simbolik. Jelas ia pelanggaran undang-undang," katanya lagi.

Vemal berkata anak guamnya telah dinafikan akses undang-undang selama 26 hari.

"Kami cuba hubungi Momoh tetapi penjara enggan membenarkan kami bertemunya atas sebab Covid-19," katanya.

Bulan lalu, Momoh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 kerana memandu ketika mabuk. Dia ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Cheras dan dibawa ke balai polis trafik Jalan Tun HS Lee di Kuala Lumpur.

Low membayar denda dan diberitahu Momoh akan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara sehari.

Bagaimanapun, dia kemudian dibawa ke penjara Kajang dan seterusnya pusat tahanan imigresen. Low mendakwa Momoh memiliki dokumen sah dan memiliki visa jangka panjang.

Dia yang kelihatan penat dan bimbang, berharap suaminya akan dibebaskan segera.

"Keadaan ini memberi kesan kepada anak saya kerana mereka rapat dengannya. Ia juga jejaskan kerja saya. Saya harap dia akan dibebaskan tak lama lagi dan kehidupan kami kembali normal," katanya lagi.