Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Bersatu gesa Zahid dan Anwar jujur tentang kerjasama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menggesa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim berlaku jujur dan berterus terang tentang hubungan kerjasama mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Rafiq menyifatkan terdapat banyak bukti bahawa kedua-dua pemimpin itu bekerjasama.

"Bukti itu termasuk surat memberi sokongan dan kepercayaan daripada Presiden Umno yang turut ditandatangani Najib Razak terhadap Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kepada Agong yang telah disahkan tulen oleh bekas setiausaha agong Umno Annuar Musa sendiri, kerjasama Umno Perak bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan bekas menteri besar Perak daripada Bersatu pada tahun lepas dan yang terbaru penularan audio perbualan telefon antara presiden Umno dan pengerusi PH itu," katanya.

Malah, kata Mohd Rafiq, bukan lagi rahsia Zahid dan Anwar cuba bekerjasama sama ada sebelum PRU-15 ataupun selewat-lewatnya selepas PRU-15 sekiranya tiada mana-mana parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

"Rakyat mula sedar bahawa laungan 'No DAP dan No Anwar!' yang dilaungkan sehingga bergegar PWTC oleh presiden Umno baru-baru ini sekadar sandiwara politik untuk menutup penjajaran baharu yang tidak boleh diterima oleh majoriti penyokong, ahli dan pimpinan akar umbi Umno dan PH," kata Mohd Rafiq.

Zahid dan Anwar sebelum ini menafikan audio tular yang didakwa merakamkan perbualan mereka.

Klip audio itu mengandungi suara yang mirip Anwar yang "mengucapkan tahniah" kepada pemilik suara seperti Zahid berkaitan ucapan di Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Semasa PAU baru-baru ini, perwakilan parti telah sepakat untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN serta memberikan kuasa kepada Zahid untuk menentukan garis masa.

Ketika menafikan audio itu, Anwar menuduh Bersatu terlibat dengan klip audio tersebut untuk menimbulkan konflik dalam Umno.

Rafiq bagaimanapun mendesak Anwar agar tidak menuding jari dan mengalihkan isu utama.