Skip to main
Logo Malaysiakini

Dasar kabotaj: Amazon sertai gergasi teknologi 'merayu' pada PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Empat syarikat gergasi teknologi - Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft - mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj yang meluluskan operasi kapal asing terlibat pembaikan kabel dasar laut.

Empat syarikat tersebut berkata penarikan pengecualian kabotaj itu telah memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan dasar memberikan faedah ekonomi yang boleh diabaikan kepada Malaysia.

“Ia akan memberi kesan kepada rakyat dan perniagaan Malaysia yang berharap akan talian internet untuk tujuan pendidikan dan kehidupan,” kata empat syarikat itu.

Menurut syarikat teknologi itu, dasar tersebut juga bercanggah dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) - yang dilancarkan kerajaan Muhyiddin pada bulan Februari - yang secara eksplisit bertujuan untuk menarik lebih banyak pendaratan kabel bawah laut antarabangsa ke Malaysia.

“Penarikan itu turut menghalang keberhasilan objektif MyDigital yang lain, termasuk kemampuan Malaysia untuk menarik pelaburan pusat data, meningkatkan persaingan ekonomi menerusi digital dan mengembangkan bakat digital yang kompetitif ke peringkat antarabangsa.

“Objektif tersebut dirangka berdasarkan peningkatkan infrastruktur pelaburan internet, sejurus mendapatkan jaringan internet yang pantas dan berkesan,” kata empat syarikat itu lagi.

Amazon Web Service - peneraju pasaran dalam laman web - antara yang terbaru menyertai syarikat lain, membantah dasar kabotaj negara.

Pada November tahun lalu, tiga syarikat - Microsoft, Google dan Facebook- telah bersama-sama menulis surat kepada Muhyiddin berhubung hal yang sama.

Ketiga-tiga syarikat itu turut memberi amaran, bahawa dasar itu hanya akan mewujudkan situasi di mana hanya satu syarikat Malaysia bakal memonopoli projek pembaikan kabel bawah laut.

Pada 13 November tahun lalu, Kementerian Pengangkutan yang dipegang We Ka Siong mewartakan penarikan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel dasar laut tersebut.

Kabotaj merujuk hak pengangkutan barang-barang dan membawa penumpang dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain oleh pengendali pengangkutan laut.

Pentadbiran Pakatan Harapan pada bulan Mac 2019 mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia dari dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya kapal asing itu terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Seksyen 65KA (1) menetapkan bahawa, tidak ada kapal asing yang boleh berhubungan dengan pengiriman domestik.

Pembaikan kabel dasar laut memerlukan kemahiran yang sangat khusus dan hanya jenis kapal yang spesifik - yang dikategorikan sebagai Dynamic Positioning Class 2 - dapat melakukan kerja tersebut.

Dengan pelaksanaan dasar kabotaj tersebut, pengendali kabel asing perlu menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan kebenaran, menyebabkan kelewatan pembaikan kabel internet - lingkungan 27 hari untuk Malaysia, jauh tercicir di belakang negara jiran Filipina, Singapura dan Vietnam.

[Baca berita asal]