Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno mahu kepastian dari mereka yang bohongi ahli, kata Annuar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas setiausaha agung BN yang disingkir Annuar Musa berkata Umno hanya mahu kepastian dari mereka yang membohongi ahli parti kerana enggan parti dibenci sehingga kalah pilihan raya umum disebabkan individu tertentu.

"Umno cuma tidak mahu keputusan parti dinodai kepimpinan sendiri," katanya dipercayai merujuk dasar parti itu menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Menyentuh mengenai spekulasi wujud gerakan Umno 3.0, ahli parlimen Ketereh itu melihatnya sebagai rekaan cerita untuk mengalih pemikiran ahli parti.

“Umno 3.0? Tak habis-habis dengan taktik mereka-reka cerita. Langsung tak takut berdosa.

“Umno tidak ada siri. Tiada 1.0, 2.0 atau 3.0.. Yang pasti ada ialah ‘No Anwar, No DAP.

“Tak usahlah cuba alih pemikiran ahli,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu juga tanpa menamakan mana-mana pihak berkata Umno merupakan parti yang kukuh tetapi menjadi lemah sehingga ditolak rakyat kerana pemimpinnya sendiri.

“Umno cuma tidak mahu keputusan parti dinodai kepimpinan sendiri.

“Umno tidak mahu kerana individu, parti makin dibenci dan PRU kita kalah lagi.

“Umno parti yang kuat tetapi tindakan pemimpin yang menyebabkan kita ditolak rakyat,” katanya lagi.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak pada satu hantaran di Facebook mempersoalkan mengapa namanya disebut berkaitan gerakan Umno 3.0.

Terdahulu, portal berita FMT melaporkan gerakan Umno 3.0 akan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.

Menurut laporan FMT, terdapat spekulasi untuk menyingkirkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak daripada politik menjelang Ogos ini, maka natijahnya terbentuklah kepimpinan baru Umno 3.0.

Untuk rekod, proklamasi darurat kesihatan Covid-19 akan berakhir pada Ogos ini dan ketika itu parlimen dijangka akan bersidang semula.

Pun begitu, tidak jelas pemimpin Umno mana yang dikatakan terlibat dalam gerakan Umno 3.0 itu.

Sementara itu, seorang lagi sumber dalaman Umno yang berpihak kepada Zahid dipetik FMT berkata pemimpin gerakan Umno 3.0 mungkin akan menyingkirkan Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Ini, katanya kerana Mohamad dilihat sebagai calon pengganti Zahid.

Dalam pada itu, Najib pula berkata sekiranya niat pemimpin-pemimpin “Umno 3.0" mengambil alih parti hanya supaya Umno akan menyokong parti lain untuk menjadi perdana menteri, maka ia bertentangan dengan suara akar umbi yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Jika niat pemimpin-pemimpin Umno 3.0 ini adalah untuk menentang kehendak dan suara akar umbi maka mereka akan dihukum dengan dahsyat dalam pemilihan parti yang melibatkan 160,000 perwakilan,” kata Najib.