Skip to main
Logo Malaysiakini

Audio: 'Saya tak berani kata, tapi ada kata betul, ada kata palsu'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut isu klip audio yang didakwa membabitkan Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim.

Ismail yang juga menteri pertahanan berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Setakat ini saya tak berani kata.. tak nak kata memecahbelahkan parti.. tetapi perbezaan pandangan itu ada.

"Ada yang kata ia betul, ada yang kata palsu. Jalan terbaik adalah polis punya siasatan," katanya, lapor Bernama.

Ismail juga mengulas mengenai gesaan beberapa pihak yang mahukan Zahid mengundur diri sebagai presiden Umno kerana dibayangi beberapa isu termasuk kes mahkamah.

Ismail berkata Umno adalah parti yang bebas dan demokratik; selain ahlinya bebas mengeluarkan hujah dan pandangan.

“Kita tidak pernah menyekat pandangan daripada sesiapa pun sejak dari dahulu lagi dan ini adalah cara Umno, jadi terserah kepada ahli-ahli untuk cakap apa-apa, tetapi akhirnya kitalah yang akan buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi dan sebagainya,” katanya dipetik Bernama.

Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu yang memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu, serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal. Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri daripada Umno, walaupun seorang, yang menggunakan PAU sebagai sebab untuk meletakkan jawatan, untuk membina momentum.

Kedua-dua presiden Umno dan presiden PKR sebelum ini telah pun menafikan dakwaan tersebut.

Pun begitu, Anwar pada hari ini pula mempersoalkan adakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman audio didakwa melibatkannya dengan Zahid adalah tulen.

Pihak polis juga memaklumkan kertas siasatan telah dibuka dan klip audio itu telah dihantar ke makmal untuk analisa forensik bagi mengesahkan kesahihannya.