KPDNHEP keluar 84 notis pada peniaga jual air kosong lebih RM1
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 84 notis terhadap peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara yang menjual air kosong pada harga melebihi RM1.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata kesemua notis tersebut dikeluarkan melalui Ops Catut 8.0 (air kosong) yang dijalankan sejak Rabu lepas susulan rungutan orang ramai yang mahukan agar kementerian memantau perkara berkenaan.
"Operasi ini akan berjalan sehingga 15 April oleh pasukan penguat kuasa di seluruh negara. Berdasarkan notis yang dikeluarkan itu, kita dapati banyak juga berlaku kes jualan air kosong lebih daripada RM1.
"Ini tidak sepatutnya berlaku...mungkin harga yang sesuai adalah antara RM0.20 atau RM0.30 sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Daripada 84 notis itu, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 14 diikuti Selangor (12), Sabah (lapan), Sarawak (lapan), Johor (lapan), Pahang (tujuh), Terengganu (enam), Kuala Lumpur (lima), Melaka (empat), Wilayah Persekutuan Labuan (tiga), Pulau Pinang (tiga), Perlis (dua), Perak (dua) dan Negeri Sembilan (dua).
Peniaga yang diberi notis itu akan diberi masa dua hingga lima hari (hari bekerja) untuk memberi maklumat diperlukan KPDNHEP sebelum tindakan lanjut diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata KPDNHEP juga sedang memantau aktiviti jualan motosikal yang dikatakan menyukarkan pelanggan membeli secara tunai dipercayai berlaku di sekitar Lembah Klang.
"Baru-baru ini saya ada dapat aduan pelanggan yang mengatakan mereka sukar membeli motosikal secara tunai kerana penjual lebih gemar pelanggan membeli secara ansuran.
"Sekiranya ada laporan yang mendapati peniaga menekan pelanggan, KPDNHEP boleh siasat. Mungkin ada kesalahan boleh dikenakan tindakan terutama jika peniaga menetapkan harga berbeza bagi pembelian motosikal secara tunai atau ansuran bulanan,” katanya.
Tambahnya, selain menjauhi rakyat daripada bebanan hutang, beliau juga tidak mahu mereka terkena riba.
"Saya yakin mungkin ada pakatan antara syarikat motor dengan 'finance company'...bayangkan kalau lima peratus atau lapan peratus caj faedah selama lima tahun, berapa banyak yang dia akan dapat (berbanding pembelian secara tunai)...jika ada dua harga berbeza mengikut cara pembelian, ini adalah salah," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai