Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes penghantar Foodpanda didakwa kena tampar: Polis segera lengkap siasatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menjangkakan akan segera melengkapkan siasatan terhadap kejadian seorang penghantar makanan Foodpanda didakwa diserang oleh pemilik sebuah restoran di Kota Damansara, Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood, polis telah merakam kenyataan daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

"Masih dalam siasatan.. (Perintah untuk siasatan) OTI daripada timbalan pendakwa raya (DPP) telah diperolehi.

"Keterangan saksi telah dirakam namun ada beberapa saksi lagi yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada DPP," katanya kepada Malaysiakini.

Belum ada tangkapan dibuat, katanya.

"Beberapa saksi lagi yang perlu dirakam kenyataan," jelas Ku Mashariman lagi.

Awal minggu ini, sebuah video menjadi viral di media sosial yang menunjukkan perbalahan antara penghantar makanan Foodpanda dan beberapa orang di sebuah restoran.

Seorang lelaki, yang dikatakan pemilik restoran itu, telah menampar penghantar makanan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh polis pada Selasa, mangsa berkata pertikaian itu mengenai penghantaran makanan lewat yang mengakibatkan beberapa pelanggan membatalkan pesanan dalam talian mereka.

Beberapa laporan media dan catatan Facebook yang tular pula mengatakan penghantar makanan itu juga orang kelainan upaya (OKU).

Polis berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

[Baca berita asal]