Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahidi minta NGO, media bantu kempen tanam 100 juta pokok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua pihak termasuk kelab media massa, badan bukan kerajaan dan syarikat swasta digesa agar membantu kerajaan menjayakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata peranan media massa khususnya, amat penting dalam menggalakkan penglibatan orang ramai terlibat dalam usaha murni itu.

“Sebagai penaung Persatuan Wartawan Perlis (PWP), saya amat berharap agar para wartawan khususnya di negeri Perlis dan seluruh Malaysia umumnya untuk bersama-sama memainkan peranan menyokong kempen penghijauan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bersama PWP dan Pengakap di Hutan Simpan Bukit Bintang dekat Kangar hari ini.

Sebanyak 1,000 batang pokok spesies meranti temak nipis ditanam pada program hari ini.

“Di Perlis sahaja kita akan tanam dalam lebih kurang 200,000 pokok dan diharap usaha ini akan mendapat sokongan semua pihak,” kata Zahidi.

Pada program itu, Jabatan Penerangan Perlis turut membuka kaunter bagi memberi maklumat kepada orang ramai tentang COVID-19, khususnya mengenai pendaftaran untuk pengambilan vaksin.

Menurut Pengarahnya Azrul Hassan, hingga hari ini pihaknya berjaya mendaftarkan lebih 300 orang awam bagi menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

- Bernama