Azmin pasal video dan audio memang pandai, kata Anwar
- Dikemas kini dengan laporan penuh.
Anwar Ibrahim menyindir bekas orang kuatnya Azmin Ali yang yakin bahawa ‘rakaman bocor’ antara ketua pembangkang dan Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai sahih.
“Tak apa, itu pandangan dia.
“Dia pasal video, pasal audio, dia pandai,” kata Anwar ketika diminta mengulas perkara itu dalam sidang media di Negeri Sembilan hari ini.
Azmin pada 2019 pernah berdepan dakwaan terlibat dalam kegiatan seks sejenis susulan kemunculan video didakwa antara dirinya dan bekas pemimpin pemuda akar umbi PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Azmin menafikan dakwaan itu.
Azmin, bekas timbalan presiden PKR yang berpaling tadah kepada Muhyiddin Yassin, semalam berkata dia yakin rakaman itu sahih, berdasarkan pengalamannya yang lama berkhidmat bersama Anwar.
Menteri ekonomi juga menyifatkan perkara itu sebagai penghianatan kepada PKR dan anggota komponen Pakatan Harapan (PH) kerana menjalankan rundingan dan perbincangan “sulit”.
Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu.
PAU antara lain memuktamadkan keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal - dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.
Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri Umno, walaupun seorang, meletakkan jawatan susulan keputusan PAU, untuk “membina momentum”.
Anwar dan Zahid menafikan ketulenan rakaman itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai