Skip to main
Logo Malaysiakini

Apabila bekas ketua hakim, peguam negara jadi saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Minggu lepas dua mahkamah Kuala Lumpur menyaksikan sesuatu yang amat jarang berlaku - kehadiran dua bekas tokoh utama perundangan negara dalam kandang saksi.

Namun itulah yang berlaku apabila bekas Ketua Hakim Negara Zaki Azmi, 76, serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang juga bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, 71, hadir untuk memberi keterangan, masing-masing sebagai saksi dan plaintif dalam perbicaraan berbeza.

Dua tokoh itu yang tidak asing dengan kerusi hakim menceritakan pengalaman mereka memberi keterangan dari kandang saksi kepada Bernama.

Zaki yang menjadi Ketua Hakim Negara selama tiga tahun sejak 2008 ketawa apabila ditanya sama ada beliau berasa gementar memberi keterangan buat pertama kali sebagai saksi.

“Nak kata nervous (gemuruh) sangat itu tidaklah, cuma sedikit cemas. Sebagai hakim saya biasa duduk di atas (mendengar kes), dan semasa menjadi peguam saya duduk di tempat peguam.

"Tapi pada Rabu lepas saya duduk di bawah, di tempat saksi,” kata Zaki yang tercatat dalam sejarah kehakiman Malaysia sebagai peguam pertama dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan secara terus pada 2007.

Zaki berkata pengalaman memberi keterangan di kandang saksi itu agak menarik selain menjadi detik bersejarah bagi dirinya.

“Saya mula-mula pergi mahkamah pada 1987 semasa menjadi peguam. Minggu lepas saya pergi mahkamah sebagai saksi.

“Sememangnya itu satu pengalaman yang menarik dan hebat, menunggu di bilik saksi bersama-sama saksi lain sebelum dipanggil memberi keterangan.

"Sebagai bekas ketua hakim negara di Malaysia dan (ketua hakim) di Dubai, detik itu merupakan saat bersejarah bagi saya,” katanya.

Datang mahkamah hari-hari

Tambah Zaki, tidak ramai hakim atau peguam yang mempunyai kisah sedemikian untuk diceritakan kepada cucu mereka.

Pada November 2018, Zaki menjadi tajuk berita utama apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tengah Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) iaitu mahkamah yang mengendalikan pertelingkahan sivil serta komersial di Dubai, antara pusat kewangan utama dunia.

Pada Rabu lepas, Zaki memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai saksi keenam pendakwaan dalam perbicaraan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan kontrak penyelenggaraan sistem.

Zaki memberi keterangan atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah, jawatan yang dipegang beliau dari 3 April 2013 hingga 31 Julai 2018.

Sementara itu, Mohamed Apandi yang kini bertugas sebagai peguam merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik menjadi Peguam Negara pada 2015.

Beliau juga menyifatkan pengalaman pertamanya memberi keterangan di mahkamah itu sebagai sesuatu yang hebat.

“Saya tidak rasa nervous sebab mahkamah dah jadi seperti playground (padang permainan) bagi saya. Saya pergi mahkamah hari-hari. 

"Saya dah biasa tengok saksi angkat sumpah dan beri keterangan.

"Apabila saya beri keterangan, saya tenang saja,” katanya.

Mohamed Apandi yang menjadi Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azimah Omar.

- Bernama