Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pengurus kanan didakwa minta suapan RM112,000 pula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembinaan yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan rasuah, kali ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan bernilai RM112,000 pada Julai 2017.

Bagaimanapun, Chua Shiou Meng, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Tertuduh didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan daripada pemilik syarikat My Concrete Sdn Bhd, Chua Siong Huat, 52, iaitu komisen RM0.50 bagi setiap meter kiub (RM112,000) setiap bulan sebagai dorongan untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat Siong Huat dibatalkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, pada Julai 2017 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes lain yang dihadapi tertuduh.

“Kes yang dihadapi tertuduh di sini mempunyai kaitan dengan tiga lagi pertuduhan dihadapi tertuduh di Mahkamah Shah Alam dan ia juga melibatkan saksi yang sama.

“Pihak pendakwaan juga memohon jumlah jaminan terhadap tertuduh ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada sebutan kes itu 22 April ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Datuk Krishnan Kesavan Nair dan Nik Ahmed Asraf Nik Othman.

Pada 22 Mac lepas, Shiou Meng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM200,000.

-Bernama